Permohonan Tauliah Mengajar Al-Quran, Ugama, Berceramah Ugama bermula 1 November

1 Nov 2026 - 6:13am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. - Permohonan Tauliah Mengajar Al-Quran, Ugama dan Berceramah Ugama bagi Musim Pertama Tahun 2027 Masihi adalah dibukakan mulai 1 November 2026 hingga 31 Disember 2026.

Pemegang Tauliah Mengajar Al-Quran, Ugama dan Berceramah Ugama yang akan tamat tempoh sehingga 30 Jun 2027 adalah dinasihatkan untuk membuat Permohonan Memperbaharui Tauliah berkenaan dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh Tauliah.

Ujian temu duga akan diadakan bermula pada Januari / Februari 2027.

Syarat Permohonan Tauliah Mengajar Ugama, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) adalah seperti berikut, iaitu pemohon hendaklah terdiri daripada warganegara atau Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam; pemohon bukan warganegara hendaklah berkhidmat di mana-mana pusat pengajaran ugama swasta di negara ini; pemohon hendaklah berumur 18 tahun ke atas; pemohon mempunyai kesihatan yang baik; pemohon hendaklah tidak pernah dikenakan atau disabitkan sebarang kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil; permohonan memperbaharui tauliah hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan sebelum tempoh tamat tauliah; dan bagi pemohon wanita yang sedang hamil, hendaklah kandungan di bawah lima bulan ke bawah semasa menghadapkan permohonan.

Kategori Permohonan Tauliah dan Syarat Kelayakan, iaitu bagi Kategori 1 : Tauliah Mengajar Al-Quran : Mempunyai kelulusan akademik Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB); Sijil Perakuan Pengajian Al-Quran atau Talaqqi Al-Quran; atau yang sebanding dengannya.

Manakala Kategori 2 : Tauliah Mengajar Ugama : Mempunyai kelulusan tertinggi dalam bidang pengajian Islam sekurang-kurangnya Diploma Perguruan Ugama yang diiktiraf oleh kerajaan.

Sementara Kategori 3 : Tauliah Berceramah Ugama : Mempunyai kelulusan tertinggi dalam bidang pengajian Islam sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan.

Setiap pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat utama, iaitu berkebolehan membaca Al-Quran dengan fasih, lancar dan bertajwid; mempunyai kefahaman dan penguasaan ilmu pengetahuan hukum-hukum tajwid; dan mempunyai ilmu pengetahuan ugama asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah yang kukuh.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Tauliah Kebenaran Mengajar Ugama, MUIB, sila layari laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama di ‘www.mora.gov.bn’ atau mengimbas Kod QR.