Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Azmah Haji Ahad
TUTONG, Ahad, 16 Ogos. - Pertandingan Kereta Tahan Lasak Pacuan 4 Roda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026 berlangsung meriah di kawasan lapang Mahad Islam Brunei, Tutong, hari ini.
Pertandingan anjuran Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong itu menghimpunkan para penggemar kenderaan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara, selain menjadi wadah bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Antara acara yang diadakan termasuk pelepasan peserta bagi Kategori Berkumpulan, menyaksikan pertandingan, jamuan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Bagi Kategori Perseorangan Bebas Isipadu (cc), Chai Nyan Wui dinobatkan sebagai juara Kategori Perseorangan Bebas Isipadu (cc) dengan catatan masa terpantas 5:03.68.
Awang Hamzah Haji Harris dan Awang Mohd. Noor Ilham muncul naib juara dengan masa 5:06.83, sementara tempat ketiga dimenangi oleh Awang Roslani Haji Kadir dengan catatan masa 5:12.80.
Tempat keempat disandang oleh Awang Feri Jauhari dengan masa 5:14.98, manakala tempat kelima pula dimenangi oleh Awang Mohd. Shahibol Faiz dengan catatan masa 6:06.97.
Bagi Kategori Berkumpulan, Bungan Team dinobatkan sebagai juara dengan masa 7:29.00, manakala Mud Runner Team muncul naib juara dengan catatan masa 8:49.10.
KML Team di tempat ketiga dengan masa 10:03.33, diikuti tempat keempat dimenangi BuliK Team dengan catatan masa 10:54.72.
Selain hadiah kepada para pemenang, satu Hadiah Penghargaan turut diberikan kepada Dayang Norazrinah binti Zulkifli atas penglibatan beliau pada tahun ini dalam menyertai dan memandu kenderaan pacuan empat roda. Penglibatan tersebut dilihat sebagai satu dorongan kepada wanita-wanita lain untuk berani dan tampil menyertai kegiatan berkenaan.
Sementara itu, Ahmar Aswad Team menerima pengiktirafan sebagai 'The Best Team'.
Pertandingan berkenaan antara lain bertujuan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80 Tahun 2026, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan penggemar pacuan empat roda di Negara Brunei Darussalam dan luar negara.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran para penggemar pacuan empat roda serta orang ramai mengenai kepentingan aspek keselamatan dan disiplin ketika mengendalikan kenderaan pacuan empat roda dalam suasana tahan lasak dan mencabar.