Semai rasa kasih, cinta kepada Rasulullah

17 Og 2026 - 8:44am

Oleh : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Ogos. - Bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi diteruskan lagi malam tadi di Istana Nurul Iman.

Majlis dihasrat untuk menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas Baginda.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, juga Ketua Kampung Subok, Daerah Brunei dan Muara.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.

Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam Melalui Amalan Doa Ketika Sakit' yang disampaikan oleh Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN), manakala Ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kota Batu pula membawakan Dikir Khairuman serta persembahan Dikir Bisyahrin dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Belimbing Subok serta Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama (Brunei II) membawakan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat.

Sementara bagi jemaah perempuan pula, majlis diadakan berasingan di Surau Istana Nurul Iman.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Manakala tazkirah bertajuk  'Menyemai Cinta Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam Melalui Amalan Doa Ketika Sakit' disampaikan oleh Dayang Hajah Nurhuwaina binti Haji Mamud sebelum diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari Kementerian Pertahanan dan KHELN,  manakala Kumpulan Dikir Al-Takwa serta Ahli MPM dan Ahli MPK Kota Batu pula membawakan Dikir Khairuman.

Sementara persembahan Dikir Bisyahrin dibawakan dari Muslimah dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Belimbing Subok serta dari JPI, Bahagian Sekolah Ugama (Brunei II) pula membawakan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan, para pegawai dari Kementerian Pertahanan, KHELN, JPI, Bahagian Sekolah Ugama (Brunei II) dan Ahli MPM serta Ahli MPK Kota Batu.