UNISSA nadi peradaban melahirkan ummah taat beragama

18 Og 2026 - 7:30am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif bin Matzin

BERAKAS, Isnin, 17 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bukan hanya sebagai mercu tanda sebuah gedung ilmu, tetapi juga merupakan nadi peradaban untuk melahirkan ummah yang taat beragama. 

UNISSA perlu terus istiqamah dalam usahanya menjadikan ilmu agama dan ilmu sains moden dapat digabungkan dalam satu wadah keilmuan yang dinamik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA dalam titah juga menyambut baik perkembangan positif UNISSA, untuk tampil menawarkan program Diploma Amalan Pengubatan Islam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini.

"Beta juga mengambil maklum mengenai jalinan kerjasama strategik UNISSA dengan universiti-universiti berprestij luar negara untuk meningkatkan ‘visibility’ UNISSA di peringkat antarabangsa.

"Penawaran program Dwi Ijazah dan Dual Degree UNISSA bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah bukan sahaja memperkenalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai pilihan destinasi pelancongan pendidikan, bahkan juga akan dapat memperluaskan jaringan peluang kerjaya," titah baginda lagi.

Memandangkan pasaran kerja semakin kompetitif, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menegaskan agar UNISSA untuk terus komited dalam menawarkan program pengajian yang berkualiti.

Sehubungan itu, Kebawah DYMM dalam titah menyarankan UNISSA supaya memantapkan lagi program-program yang ditawarkan, dan pada masa yang sama, pihak-pihak berkenaan juga hendaklah memperkemas kualiti sukatan pelajaran dan kurikulum bagi pelajar-pelajar di peringkat pra-universiti.

Dalam usaha mewujudkan program-program yang berkualiti, baginda seterusnya berharap semua institusi pengajian tinggi perlu membuat perancangan yang lebih terarah supaya tidak berlaku pertindihan program yang ditawarkan sesama institusi lain.

"Langkah ini akan memastikan institusi pendidikan seperti UNISSA dapat memberikan tumpuan kepada misi unik menyatukan ilmu ugama dan sains moden, sekali gus memaksimumkan impak pelaburan awam, di samping menjamin penghasilan tenaga kerja mahir," titah baginda lagi.

Kebawah DYMM dalam titah turut mengucapkan syabas dan tahniah kerana UNISSA mencapai kedudukan yang ke-147 dalam senarai Top 500 Global Innovative Universities dalam World University Rankings for Innovation (WURi) 2026, bahkan turut juga meraih Global Good Governance (3G) Awards sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan kecemerlangan UNISSA.

Kejayaan ini titah baginda lagi, mampu menjadi motivasi membawa graduan dan alumni ke arah lebih gemilang. Para graduan dan alumni diharap akan terus menitikberatkan usaha mempertingkatkan kemahiran.

Dalam titah, Kebawah DYMM juga menegaskan kelangsungan hidup masyarakat kita dalam era globalisasi yang serba mencabar ini amatlah bergantung kepada kesediaan kita untuk terus meneroka ilmu serta menguasai kepakaran baharu.

Islam titah baginda lagi, sentiasa menggalakkan umatnya untuk terus menambah ilmu, sebagaimana dalam Surah Taha, ayat 114, Allah Subhanahu Wata'ala menyarankan kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya berdoa memohon pertambahan ilmu.

“Di kesempatan ini, beta menyeru kepada semua graduan dan alumni UNISSA agar senantiasa berusaha memajukan diri dengan meningkatkan kebolehpasaran masing-masing, terutama melalui penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, bahkan juga menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara.

“Akhir kalam, beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis, Senat, Rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan, komitmen, pengorbanan tenaga dan buah fikiran yang telah dicurahkan dalam menjayakan Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-16.

“Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan membalasnya dengan ganjaran kebaikan yang berlipat ganda. Amin…,” titah baginda lagi.

Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah bersama-sama hadir dalam Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16.

Baginda seterusnya bertitah dengan tulus ikhlas mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan jadi bekal berharga untuk digunakan.

Kebawah DYMM juga merakamkan ucapan tahniah dan penhargaan kepada para ibu bapa, penjaga serta tenaga akademik yang menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan para graduan.