Waspada dengan cuaca tidak menentu

3 Nov 2026 - 6:56am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 November. - Negara Brunei Darussalam telah memasuki Monsun Timur Laut pada 2 November 2026 dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2027.

Tiga bulan pertama Monsun Timur Laut (November, Disember 2026 dan Januari 2027) yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, pada lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang banyak dengan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Semasa tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

Berasaskan data klimatologi, bulan November menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 323mm, manakala bulan Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 359mm dan bulan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 321mm. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan November ialah 22 hari manakala bulan Disember ialah 21 hari dan Januari pula ialah 18 hari.

Semasa Musim Tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.

Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam.

Luruan angin sejuk Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5m dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60kmsj. Jika berlaku, keadaan ini adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac 2027), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan, dengan jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 163mm dan bagi bulan Mac ialah 143mm. Manakala, purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Februari ialah 12 hari dan bulan Mac ialah 13 hari.

Berdasarkan model iklim daripada pusat-pusat ramalan antarabangsa, fenomena El Niño telah terbentuk di Lautan Pasifik sejak bulan Jun 2026 dan kini berada pada tahap yang sangat kuat. Fenomena El Niño berintensiti sangat kuat ini dijangka berterusan sehingga sekitar bulan Mac 2027, dengan kebarangkalian melebihi 83 peratus.

Kesan El Niño terhadap negara kita pada lazimnya ialah aktiviti turunan hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah.

Sehubungan itu, ramalan jangka panjang turunan hujan bagi Negara Brunei Darussalam iaitu bagi November 2026, ramalan tinjauan bermusim adalah normal manakala bagi Disember 2026, ramalan tinjauan bermusim adalah bawah normal dan bagi Januari 2027, ramalan tinjauan bermusim adalah bawah normal.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak terutamanya semasa keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku ketika Musim Tengkujuh serta mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka berlaku semasa tempoh separuh kedua Musim Timur Laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).