Wings of Inclusion perkasa masyarakat inklusif, prihatin terhadap golongan OKU

12 Okt 2026 - 6:00am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Brunei Participating Youth 49

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Oktober. - Para peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2026 dengan kerjasama SSEAYP International Brunei (BERSATU) serta sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melaksanakan Aktiviti Pasca Program (Post Program Activity - PPA) bertajuk ‘Wings of Inclusion : Inclusive Community’, pagi tadi.

Program telah berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan. Program berkenaan merupakan kesinambungan kepada Aktiviti Sumbangan Sosial (Social Contribution Activity - SCA) yang dilaksanakan oleh peserta Program SSEAYP Ke-49 pada Disember 2025, yang turut dikenali sebagai ‘Wings of Inclusion’.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menyertai Program SSEAYP Ke-49 terus komited dalam menyemarakkan semangat kepimpinan belia, pertukaran budaya dan pembangunan masyarakat melalui pelaksanaan PPA.

Inisiatif berkenaan bertujuan memupuk empati dan keprihatinan terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), di samping memberikan impak positif kepada masyarakat setempat melalui usaha membina persekitaran yang lebih inklusif, selamat, mudah diakses dan saksama untuk semua.

Program yang dilaksanakan secara hibrid itu merangkumi sesi dalam talian dan bersemuka, dengan penyertaan seramai 41 orang, terdiri daripada 12 belia yang menyertai sesi dialog secara dalam talian, 22 belia yang mengikuti sesi perbincangan secara bersemuka serta tujuh orang sukarelawan belia.

Dalam ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Projek ‘Wings of Inclusion’, Dayang Jamilin Syasya binti Jamil menekankan komitmen golongan belia untuk menyediakan ruang yang inklusif kepada komuniti OKU, khususnya dalam sektor pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Projek berkenaan juga sejajar dengan Dasar dan Strategi Belia Negara yang ketiga dan keempat bagi tempoh 2020–2035, yang menggariskan usaha memperkasa belia sebagai agen perubahan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang inklusif.

Selain itu, inisiatif tersebut menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk membina masyarakat yang inklusif, makmur dan berdaya tahan, berlandaskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

Program itu turut mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya Matlamat 10 iaitu Mengurangkan Ketidaksamaan, dan Matlamat 11, iaitu Bandar dan Masyarakat Mampan.

Sesi dialog menampilkan empat ahli panel yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan keterangkuman, kesihatan mental, kepelbagaian neurologi dan pembangunan kemahiran.

Antara ahli panel yang ikut serta termasuk Prim Kaewpradub daripada Thailand - pengasas platform bahasa isyarat; dan Michelle Ann Villanueva daripada Filipina, yang aktif dalam advokasi belia dan usaha mengatasi halangan terhadap akses sokongan kesihatan mental di peringkat akar umbi.

Turut menyertai sesi berkenaan ialah dua ahli panel tempatan, iaitu Dayang Amalina binti M. Ismail dari AM Counselling, yang mengutamakan pendekatan berpusatkan klien bagi membantu individu membina daya tahan dan kesejahteraan diri, serta Dayang Melline binti Haji Jaini dari UNIKLEARN, yang terlibat dalam bidang kepelbagaian neurologi, pekerjaan inklusif dan pembangunan kemahiran bagi membuka lebih banyak peluang kepada individu dengan keupayaan yang berbeza.

Kepelbagaian latar belakang ahli panel berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai hala antara NBD dengan negara-negara ASEAN lain dalam memperkasa golongan OKU melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik.

Sesi perbincangan berkumpulan dan pembentangan pada sebelah pagi dan petang pula memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu keterangkuman di tempat kerja, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Para peserta belia digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan, bertukar pandangan, menjana idea serta membentangkan cadangan bagi memperkukuh amalan inklusif dalam ketiga-tiga bidang berkenaan.

Sesi-sesi tersebut bertujuan menyediakan platform interaksi dan perkongsian pengalaman dalam kalangan belia, di samping memupuk nilai empati, persefahaman dan kerjasama masyarakat ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih inklusif.

Usaha berkenaan turut mengambil kira prinsip Maqasid Syariah, khususnya pemeliharaan agama (Hifz al-Din), nyawa (Hifz al-Nafs) dan akal (Hifz al-‘Aql).

Melalui program ‘Wings of Inclusion : Inclusive Community’, para peserta diharap dapat membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU, menangani penyebaran maklumat yang kurang tepat serta menggalakkan persahabatan dan interaksi yang lebih inklusif antara golongan OKU dengan masyarakat umum.

Inisiatif tersebut juga mencerminkan misi SSEAYP yang lebih luas dalam melahirkan kepimpinan belia, menggalakkan pertukaran budaya serta memupuk tanggungjawab sosial dalam kalangan belia di Asia Tenggara dan Jepun.

Melalui pelaksanaan inisiatif seumpamanya, Kontinjen NBD bagi Program SSEAYP Ke-49 terus menunjukkan komitmen dalam menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang penyayang, berdaya tahan dan inklusif, tanpa mengira keupayaan setiap individu.