Acara renang menyumbang pingat perak, gangsa buat negara

21 Og 2026 - 6:36am

Oleh : Srinarawie Bidzah

Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026

SELANGOR, MALAYSIA, Khamis, 20 Ogos. – Atlet renang Negara Brunei Darussalam (NBD) menunjukkan prestasi membanggakan dalam acara renang pada Sukan Akuatik yang berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan baru-baru ini pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026. 

Dalam acara 50 meter kuak lentang wanita, atlet NBD, iaitu Sharmeen Mohammad Mharvin, mencatat masa 30.29 saat pada peringkat saringan, sekali gus mencatat rekod baharu bagi acara berkenaan.

Sharmeen kemudiannya meneruskan saingan ke peringkat akhir dan berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan masa 30.39 saat. Manakala pingat emas dimenangi wakil dari Wilayah Persekutuan dengan catatan 29.80 saat.

Sementara itu dalam acara 50 meter kuak lentang lelaki, atlet NBD, iaitu Joel Ling Thai Yu, turut menyerlah apabila mencatat 27.24 saat pada peringkat saringan, sekali gus berjaya mencatat rekod baharu.

Manakala pada peringkat akhir, Joel Ling Thai Yu mengekalkan prestasi konsisten dengan meraih pingat perak selepas mencatat masa 27.07 saat. Sementara pingat emas dimenangi wakil dari Selangor dengan catatan masa 26.81 saat.

Dalam acara yang sama, seorang lagi atlet NBD, iaitu Danniel Zhi Zhen Chan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan catatan masa 29.37 saat, sekali gus mencatatkan Personal Best (PB) walaupun tidak layak ke pusingan seterusnya.