Atlet 2 beradik menang gangsa di Kejohanan Taekwondo Asia Indonesia 2026

8 Og 2026 - 5:02am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Atlet Poomsae (taekwondo) negara berjaya mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam (NBD) di persada antarabangsa apabila gandingan Hyde Nathania Hijium dan Hyde Nachman Hijium berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Recognized Pair Bawah 30 Tahun pada Kejohanan Terbuka Taekwondo Asia Indonesia Ke-8, 2026 baru-baru ini.

Kejohanan bertaraf antarabangsa yang berlangsung dari 1 hingga 5 Ogos 2026 di Tennis Indoor Stadium Senayan, Jakarta, Republik Indonesia berkenaan merupakan kejohanan World Taekwondo G2, sekali gus menawarkan mata ‘ranking’ dunia yang amat penting sebagai persediaan menghadapi kejohanan-kejohanan utama pada masa hadapan.

Sebanyak 478 atlet daripada 36 buah negara mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij berkenaan, sekali gus menjadikannya pentas persaingan sengit yang menghimpunkan para atlet taekwondo terbaik dari Asia dan seluruh dunia.

Di bawah bimbingan Jurulatih Poomsae Kebangsaan, Habibah Mutiara, pasangan negara berkenaan mempamerkan persembahan Poomsae yang mantap, kemas dan penuh keserasian sehingga berjaya menempatkan diri di podium, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa kepada NBD.

Kejayaan berkenaan menambah lagi koleksi pencapaian antarabangsa negara dalam disiplin Poomsae serta membuktikan perkembangan memberangsangkan program pembangunan taekwondo NBD.

Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua atlet serta Jurulatih Poomsae Kebangsaan atas dedikasi, disiplin dan komitmen tinggi dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menurut BDTA, kejayaan berkenaan bukan sahaja mencerminkan kemajuan berterusan program Poomsae negara, malah diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu atlet taekwondo untuk terus mengejar kecemerlangan.

BDTA turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas sokongan berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan taekwondo di negara ini.

Persatuan berkenaan menegaskan komitmennya untuk terus membimbing atlet-atlet berbakat serta menyediakan lebih banyak peluang bagi mereka bersaing di kejohanan bertaraf dunia, di samping memperkukuh lagi kedudukan NBD dalam arena taekwondo antarabangsa.