BIBD ‘Sehati’ Run pupuk gaya hidup sihat, kesejahteraan warga kerja

10 Og 2026 - 5:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Bank Islam Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) menganjurkan BIBD ‘Sehati’ Run, acara tahunan yang bertujuan menggalakkan keseimbangan positif antara kehidupan dan pekerjaan serta memperkukuhkan komitmen berterusan bank terhadap kesejahteraan warga kerja.

Acara yang berlangsung di BIBD Connects Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara itu disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

Lebih 400 peserta, terdiri daripada kakitangan Kumpulan BIBD serta ahli keluarga mereka, menyertai acara tersebut. Turut hadir ialah ahli-ahli pengurusan kanan serta kakitangan BIBD, BIBD Securities Sdn. Bhd. (BIBDS) dan BIBD At-Tamwil Berhad.

Larian santai berkenaan menawarkan tiga kategori, iaitu 3 kilometer (km), 5km dan 10km, bagi memberi peluang penyertaan kepada pelbagai peringkat kecergasan.

Acara tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 3) yang menekankan usaha memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua peringkat umur.

Bagi kategori 10km Terbuka Wanita, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Fathin Mahfuzah binti Abdul Manap, diikuti Dayang Nurul Aliyah binti Haji Md. Ali Al-Hafiz di tempat kedua dan Dayang Fatin Nur Athiqah binti Abu Bakar di tempat ketiga.

Dalam kategori 10km Veteran Wanita, Dayang Nurol Azlinayati binti Md. Roszaimey muncul juara, manakala Cindy Lim Chiu Mei dan Dayang Siti Khadrina Fakhriah binti Haji Bakri masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori 10km Terbuka Lelaki, Brendan Wong Ching Ming menjuarai perlumbaan tersebut, diikuti Awang Mohammad Akmal Zulfadhli bin Shamsul dan Awang Qays Matin bin Awang Haji Yahya.

Sementara itu, kategori 10km Veteran Lelaki dimenangi oleh Awang Raimi Azamansham, diikuti Awang Haji Maidin bin Haji Abd. Rahman dan Pengiran Md. Nazri bin Pengiran Md. Karim.

Dalam kategori 5km Terbuka Wanita, Janice Tieng muncul juara, manakala Dayang Nurlaila binti Kadir dan Dayang Ramizah @ Nadzirah binti Haji Reduan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kategori 5km Terbuka Lelaki pula menyaksikan Awang Muhammad Tarmizi bin Bahrin meraih tempat pertama, diikuti Awang Abu Khaledi Asyrani bin Abu Bakar dan Awang Mohammad Aisamuddin bin Haji Jali.

Selain kategori individu, acara itu turut mengiktiraf semangat berpasukan terbaik dengan Risky Venture LLC muncul sebagai juara, diikuti Odahh Siap Belom di tempat kedua dan Out of Office di tempat ketiga.

Acara tersebut dianjurkan oleh BIBD Sports and Recreational Club (SRC) yang terus memainkan peranan dalam memupuk semangat muhibah dan kesejahteraan kakitangan melalui pelbagai aktiviti sukan sepanjang tahun.

Menurut BIBD, ‘Sehati’ Run merupakan antara inisiatif utama SRC tahun ini yang menghimpunkan warga kerja dan keluarga mereka dalam suasana yang menggalakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial.

Melalui penganjuran acara itu, BIBD berharap dapat menggalakkan warga kerjanya mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan, di samping memperkukuhkan budaya tempat kerja yang menghargai keseimbangan, kesihatan dan semangat kekitaan.