Berita dan Foto : Ihsan Indera SC
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Kelab Sukan Indera (Indera SC) memantapkan persiapan menjelang aksi pembuka tirai Kejohanan Bola Sepak Jemputan Batam Premier FC yang akan berlangsung di Stadium Citra Mas, Kota Batam, Kepulauan Riau, esok.
Menurut Pengiran Abd. Azim bin Pengiran Haji Othman, pasukan telah menjalani beberapa siri latihan sepanjang berada di Batam sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
“Sepanjang berada di sini (Batam, Republik Indonesia), kita telah menjalani siri latihan persiapan untuk membuka tirai kejohanan yang sudah pasti menjadi ujian kepada pemain-pemain pada perlawanan di peringkat serantau ini,” jelasnya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Tumenggung Abdul Jamal, Kota Batam, pagi tadi.
Pasukan Indera SC di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Henderson Lindsay David, turut diperkuatkan dengan gabungan pemain senior tempatan berpotensi serta beberapa tonggak import dari Guinea, Cameroon, Côte d’Ivoire dan Nigeria.
Menurut Pengiran Abd. Azim, penyertaan Indera SC dalam kejohanan tersebut juga menjadi medan ujian serta persiapan terakhir pasukan sebelum mengharungi saingan Liga Super Brunei 2026-2027.
Indera SC, selaku juara bertahan Liga Super Brunei 2025-2026, akan berdepan Batam Premier FC, antara kelab bola sepak terbaik dari Batam, Republik Indonesia, pada perlawanan separuh akhir.
Kejohanan bertaraf antarabangsa yang menggunakan format FIFA Series itu turut menyaksikan penyertaan Geylang International FC dari Republik Singapura dan Garudayaksa FC dari Republik Indonesia.