Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Selepas dua hari berlangsungnya Baiduri Masters 2026, persaingan merebut Green Jacket mula memperlihatkan hala tuju di Pantai Mentiri Golf Club (PMGC), dengan beberapa pemain muncul sebagai pencabar utama menjelang hari ketiga kejohanan.
Zul Rosli, Johari Ahmad dan Muhd. Irwan Haji Abd. Hamid berkongsi kedudukan teratas selepas masing-masing mencatatkan pusingan 70 pukulan. Johari Ahmad, bekas juara Baiduri Masters, menyerlah dengan salah satu persembahan terbaik pada hari berkenaan untuk kembali dalam persaingan, menyertai Muhd. Irwan yang turut mencatatkan 70 pukulan pada pusingan pembukaan, sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam kelompok pendahulu.
Hanya satu pukulan di belakang ialah Haji Shahminan Haji Damit dengan catatan 71 pukulan, sekali gus meletakkan dirinya dalam jarak yang cukup dekat untuk mencabar kedudukan teratas. Sementara Julian Kamaluddin dan Bryan Chiew pula terus memberikan tekanan selepas masing-masing mencatatkan 72 pukulan, memastikan persaingan di kelompok teratas kekal sengit.
Di belakang kumpulan pendahulu, Haji Lutfi Haji Hanif dan Lee Jack Hui berkongsi tempat ketujuh dengan 75 pukulan, manakala Suhaimi bin Haji Ibrahim, Dilip Kumar Thapa dan Kushal Kumar Gurung terikat pada 77 pukulan. Manakala Rabindra Prakash Tulachan pula melengkapkan kelompok 12 terbaik dengan catatan 78 pukulan.
Walaupun tiga pemain kini berkongsi kedudukan teratas, carta kedudukan masih jauh daripada muktamad. Dengan satu lagi hari pertandingan berlangsung pada hujung minggu ini sebelum kejohanan disambung semula minggu depan, satu pusingan cemerlang mampu mengubah kedudukan dengan pantas serta merombak persaingan merebut Green Jacket dan Challenge Trophy yang menjadi rebutan.
Kemeriahan kejohanan turut diserikan dengan hadiah menarik bagi pukulan hole-in-one, termasuk sebuah BMW X3 di Lubang 13, Porsche Macan EV di Lubang 16, MINI Cooper di Lubang 9 dan hadiah wang tunai BND20,000 di Lubang 7.
Setakat ini, pukulan paling hampir dengan ‘hole-in-one’ ialah satu pukulan luar biasa pada hari pertama yang berhenti hanya 3.35 sentimeter dari lubang. Pukulan hampir tepat berkenaan terus menjadi antara topik utama kejohanan ketika para pemain memburu kesempurnaan dalam sukan golf pada pusingan yang berbaki.
Di luar persaingan di padang, Baiduri Masters terus menjadi platform untuk menyokong usaha kemasyarakatan. Hasil kutipan daripada kejohanan tahun ini akan disalurkan kepada La Vida, SMARTER Brunei, Learning Ladders Society, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan An-Nur Harapan.
Pada 2025, kejohanan berkenaan menarik penyertaan lebih 800 pemain golf dan berjaya mengumpulkan BND82,000 untuk tujuan kebajikan.
Masih ada masa bagi pemain golf untuk menyertai kejohanan tahun ini. Pendaftaran masih dibukakan dengan bayaran BND120 bagi Kategori Lelaki, Kategori Wanita dan Kategori Senior, manakala Kategori Junior dikenakan bayaran BND60. Peserta boleh mendaftar secara dalam talian melalui Pocket atau menghantar borang pendaftaran berserta bayaran ke PMGC.
Untuk maklumat lanjut mengenai Baiduri Masters 2026, di visit ‘www.baiduri.com’.