Kejohanan boling padang labuh tirai

25 Og 2026 - 7:11am

Berita dan Foto : Ihsan Wisdom Bowls Club

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Kejohanan Boling Padang Perseorangan Generasi-Z Terbuka 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, melabuhkan tirainya kelmarin di Pusat Boling Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas.

Dalam aksi perlawanan akhir kategori lelaki, Awang Muhd. Aiman Aqil Muhd. Arifin muncul juara selepas menewaskan Awang Muhd. Azam Azmee dengan keputusan 16 berbalas 5. Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh Ak. Abdul Radhi Pg. Mohd. Samrin dan Awang Mohd. Daniel Haqeem Muhd. Abdul Qassim.

Sementara itu dalam kategori wanita pula, Dayang Nur Amerra Zahirah Mohd. Nazib muncul juara selepas menundukkan Dayang Nur Aina Maisarah Jasman dengan keputusan 13 berbalas 7.

Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh Dayang Quratul Ain Irwan dan Dayang Nur Immatul Zahirah Julihi. Awang Muhd. Adam Mukhriz Muhd. Nazib dipilih pemenang anugerah Pemain Muda Berbakat yang disampaikan oleh Presiden Kelab Boling Padang Wisdom, Awang Haji Johari bin Achee.

Manakala hadiah-hadiah kemenangan pula disampaikan oleh Ketua Unit Prestasi Tinggi selaku wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Nur Iffah Natasha Sofea binti Abdullah.

Kejohanan edisi pertama ini dianjurkan oleh Kelab Boling Padang Wisdom Negara Brunei Darussalam.