Kelab Rooftop Picklers adakan perlawanan Pickleball persahabatan

11 Og 2026 - 6:50am

Berita dan Foto : Ihsan Rooftop Picklers

 

TUTONG, Isnin, 10 Ogos. - Kelab Rooftop Picklers mengadakan Perlawanan Pickleball Persahabatan bersama Kelab Pickle Pals yang berlangsung di Dewan Pickleball Lamunin, Kiudang.

Seramai 36 pemain daripada kedua-dua kelab menyertai perlawanan tersebut dalam suasana penuh semangat kesukanan dan muhibah.

Perlawanan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan organisasi dan sosial menerusi aktiviti sukan yang sihat dan bermanfaat.

Selain itu, penganjuran perlawanan tersebut juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan usaha ‘Menuju ke Arah Warga Sihat’, khususnya dalam menggalakkan penglibatan golongan generasi baharu dalam aktiviti riadah dan gaya hidup aktif.

Menurut pihak penganjur, perlawanan persahabatan seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada pemain-pemain Kelab Rooftop Picklers memperoleh pendedahan yang lebih luas serta mempelajari teknik-teknik baharu dalam sukan Pickleball yang semakin popular di negara ini.

Acara tersebut turut menjadi platform untuk berkongsi pengalaman, meningkatkan kemahiran permainan dan mengukuhkan semangat kerjasama antara ahli kedua-dua kelab.