Lebih 500 sertai Scavenger Hunt 2026

10 Og 2026 - 5:17am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Ihsan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) pagi tadi menganjurkan Scavenger Hunt 2026 bertempat di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, di ibu negara. 

Acara yang merupakan salah satu acara utama Minggu Maritim Negara Brunei Darussalam 2026 itu menghimpunkan lebih 500 peserta bagi meraikan warisan maritim negara melalui semangat kerjasama berpasukan. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof. 

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman, yang menekankan pentingnya penglibatan masyarakat dalam menghargai dan memelihara warisan pelayaran negara. 

Kapten (B) Zil Husam juga menyatakan, peningkatan jumlah peserta yang amat ketara ini jelas menunjukkan sambutan dan minat yang semakin meningkat terhadap acara berkenaan, di mana semangat dan keterujaan para peserta merupakan nadi utama acara, dan pihak MPABD menzahirkan penghargaan kerana menjadikan hasrat ini satu kejayaan yang begitu membanggakan. 

"Kita berkumpul pada hari ini di Dermaga Diraja, sebuah lokasi yang begitu erat kaitannya dengan sejarah maritim Negara Brunei Darussalam. Selama berabad-abad, perairan ini telah menjadi penghubung antara masyarakat, perdagangan dan kebudayaan. 

"Pada hari ini, ketika kita berdiri di persisiran bersejarah ini, kita bukan sekadar mengenang warisan yang kaya, malah terus membina dan mengembangkannya. 

"Apa yang bermula tiga tahun lalu sebagai satu inisiatif sederhana bagi mengeratkan hubungan masyarakat kini telah berkembang menjadi salah satu acara penglibatan awam utama dalam Minggu Maritim Negara Brunei Darussalam. 

"Scavenger Hunt pada hari ini bukan sekadar perlumbaan mencari khazanah tersembunyi di sekitar bandar. Dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada lima orang, awda perlu mengharungi pelbagai cabaran yang memerlukan pemikiran pantas, strategi yang mantap, ketahanan fizikal dan, yang paling utama, kepercayaan serta kerjasama yang erat," terang beliau. 

Pertandingan kemudiannya dimulakan secara rasmi dengan acara pelepasan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat. 

Sambutan orang ramai terhadap acara berkenaan amat menggalakkan apabila semua slot pendaftaran yang disediakan habis diisi dalam tempoh sehari selepas dibuka, sekali gus mencatatkan rekod penyertaan seramai 500 peserta. 

Sepanjang pertandingan, kumpulan yang terdiri daripada lima orang menguji pengetahuan mengenai maritim, pemikiran kritis dan ketahanan fizikal masing-masing dengan menyelesaikan pelbagai petunjuk serta cabaran interaktif di sekitar Dermaga Diraja. 

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya. 

Kumpulan juara menerima hadiah utama sebanyak BND2,500 berserta trofi dan pingat, manakala menduduki tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima BND1,500 dan BND1,000, berserta trofi dan pingat. 

Selain itu, tujuh pemenang hadiah sagu hati masing-masing menerima BND250 dan barangan eksklusif sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian yang ditunjukkan sepanjang pertandingan. 

Selain menjadi wadah bagi menggalakkan persaingan sihat, Scavenger Hunt MPABD 2026 turut memperkukuh kesedaran orang ramai mengenai sejarah dan warisan maritim Brunei, di samping memupuk perpaduan, ketahanan dan kelestarian selaras dengan matlamat Minggu Maritim Negara Brunei Darussalam 2026.