Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Pasukan Futsal Ar-Rawda Academy berjaya memberikan saingan menarik sehingga menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Futsal Jemputan U13 bagi merebut Piala DMNA FC yang berlangsung di Kompleks Sukan Yayasan, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
“Pemain-pemain tampil penuh semangat walaupun gagal mara ke peringkat akhir. Namun, kebangkitan para pemain membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang trofi di tempat ketiga,” jelas Pengurus Pasukan, Awang Rosdin bin Haji Abd. Aziz.
Beliau mengakui penyertaan Pasukan Futsal Ar-Rawda Academy pada kejohanan berkenaan memberikan impak positif terhadap pembangunan di peringkat akademi, selain menjadi medan pendedahan dan memberikan pengalaman terbaik kepada para pemain.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Futsal Ar-Rawda Academy, Randy Aditya, melahirkan rasa bangga terhadap prestasi menarik yang ditampilkan para pemain dengan memberikan saingan kepada pasukan-pasukan futsal terbaik di Sabah.
Menurutnya lagi, penyertaan dalam kejohanan berkenaan memberikan peluang kepada pembangunan pemain-pemain di peringkat akar umbi untuk beraksi di pentas serantau.
Pasukan Futsal Ar-Rawda Academy tewas pada peringkat separuh akhir kepada Pasukan Tiger Akademi FC dengan keputusan 0-2. Namun, mereka bangkit semula dan berjaya menumpaskan Pasukan Futsal Juragan dengan jaringan 3-2 untuk meraih tempat ketiga.
Kejohanan Futsal Jemputan U13 bagi merebut Piala DMNA FC berkenaan dijuarai oleh Pasukan Futsal RW FT.