Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Ogos. - Muara Port Company Sdn. Bhd. (MPC) dengan kerjasama Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) menganjurkan Perlawanan Persahabatan Badminton antara Syarikat MPC 2026 yang menghimpunkan pekerja dari empat organisasi dalam komuniti pelabuhan dan maritim Negara Brunei Darussalam, bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan perlawanan persahabatan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Perlawanan tersebut menyaksikan penyertaan dari MPC; Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD); Darussalam Pilotage Services Sdn. Bhd. (DPS) dan Muara Maritime Services Sdn. Bhd. (MMS).
Ia menampilkan lima kategori, iaitu Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Wanita dan Beregu Campuran, yang menggalakkan gaya hidup sihat, kerja berpasukan dan semangat persahabatan di samping memberi peluang kepada pekerja untuk berhubung di luar interaksi profesional harian mereka.
Acara juga menonjolkan kepentingan kolaborasi antara organisasi dalam sektor pelabuhan dan maritim, di samping memupuk hubungan profesional yang lebih erat dan penglibatan industri dalam suasana tidak formal.
Sebagai acara sukan peringkat korporat pertamaMPC, perlawanan persahabatan tersebut menandakan langkah positif ke arah memperkukuh semangat persahabatan dan kolaborasi dalam komuniti pelabuhan dan maritim.