Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Dengan berakhirnya hujung minggu pertama Baiduri Masters 2026, persaingan merebut Green Jacket kini mula menampakkan hala tuju, dengan seorang pendahulu baharu muncul dan kedudukan carta semakin sengit menjelang kejohanan bersambung pada hujung minggu depan.
Mahendra Phagami menghasilkan pusingan terbaik kejohanan setakat ini apabila mencatat tiga di bawah par, iaitu 69 pukulan, sekali gus melonjak ke tempat pertama secara keseluruhan.
Pusingannya itu membuatkan beliau mendahului barisan pemain lain dan membawa kelebihan tipis menjelang hujung minggu kedua dan terakhir pertandingan.
Hanya satu pukulan di belakang ialah sekumpulan empat pemain yang terikat dengan 70 pukulan. Menariknya, kumpulan tersebut merangkumi tiga bekas juara Baiduri Masters iaitu Awangku Mohd. Syakir Pengiran Haji Alli, Johari Ahmad dan Muhd. Irwan Haji Abd. Hamid yang kesemuanya pernah menyarung Green Jacket.
Mereka disertai Zul Rosli, menjadikan carta kedudukan dipenuhi pemain berpengalaman serta mempunyai rekod pencapaian yang kukuh menjelang peringkat penentuan kejohanan.
Hanya satu pukulan di belakang mereka ialah Haji Shahminan Haji Damit dengan 71 pukulan, manakala Julian Kamaluddin dan Bryan Chiew masing-masing mencatat 72 pukulan.
Muhd. Harith Irfan Indera Putera, Zulehram Yakub dan Kumar Purja Pun pula terikat dengan 73 pukulan, sementara Haji Lutfi Haji Hanif kini menduduki kedudukan kelayakan terakhir dengan 75 pukulan.
Dengan hanya 12 pemain terbaik akan mara ke pusingan akhir kejohanan pada Ahad, 16 Ogos, setiap pukulan menjadi semakin penting. Beberapa pemain masih berada dalam jarak yang rapat dengan garisan kelayakan, sekali gus memastikan persaingan untuk merebut tempat ke pusingan kejuaraan dijangka sengit seperti persaingan merebut Green Jacket itu sendiri.
Persaingan Kategori Wanita juga semakin menarik untuk disaksikan. Almas Syadzwanie Kamis mendahului selepas mencatat 76 pukulan, diikuti Helene Ayu dengan 84 pukulan dan Agnes De La Cruz dengan 88 pukulan.
Selepas berjaya mempertahankan kejuaraannya pada 2025, setelah terlebih dahulu menjuarai kejohanan pada 2024, Almas kini berpeluang meraih gelaran Baiduri Masters Ladies buat kali ketiga berturut-turut apabila pertandingan bersambung pada hujung minggu depan.
Menambahkan lagi keterujaan ialah hadiah menarik bagi pukulan ‘hole-in-one’, termasuk sebuah BMW X3 di Lubang 13, Porsche Macan EV di Lubang 16, Mini Cooper di Lubang 9, serta hadiah wang tunai BND20,000 di Lubang 7.
Walaupun kesemua hadiah tersebut masih belum dimenangi, beberapa pemain telah menghampirinya, khususnya di Lubang 16 apabila satu pukulan hanya berhenti 5 sentimeter dari lubang. Rekod percubaan terdekat ketika ini ialah 74 sentimeter di Lubang 7, 50 sentimeter di Lubang 9, 100 sentimeter di Lubang 13 dan 5 sentimeter di Lubang 16.
Persaingan bagi Kategori Pukulan Terjauh (Longest Drive) turut semakin sengit. Catatan penanda aras semasa ialah 96 meter ke pin bagi kategori Lelaki dan 148 meter ke pin bagi Kategori Wanita. Diperkenalkan buat kali pertama tahun ini, Kategori Ladies' Longest Drive menambah satu lagi elemen menarik kepada kejohanan.
Masih terdapat masa untuk pemain golf menyertai kejohanan tahun ini. Pendaftaran masih dibuka dengan bayaran BND120 bagi Kategori Lelaki, Wanita dan Senior, manakala BND60 bagi Kategori Junior. Peserta boleh mendaftar secara dalam talian melalui platform Pocket atau menyerahkan borang pendaftaran berserta bayaran di Pantai Mentiri Golf Club.