KOTA KINABALU, SABAH, Isnin, 10 Ogos. - Pasukan Kelab Bola Sepak Bawah 17 Tahun (U17) Kayans menimba pengalaman dan meluaskan pendedahan yang sangat bermakna menerusi dua perlawanan persahabatan di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Ketua Jurulatih Kayans FC, Awang Haji Mohd. Rosanan Abdullah Samak, perlawanan berkenaan merupakan sebahagian daripada program latihan luar negara Kelab Bola Sepak U17 Kayans sebagai pendedahan terbaik, di samping meningkatkan keyakinan pemain dalam memberikan saingan kepada pasukan di peringkat serantau.
Jelasnya lagi, pendedahan berkenaan memberikan peluang terbaik kepada para pemain untuk merasai corak permainan, intensiti serta tekanan perlawanan yang lebih mencabar dan kompetitif.
"Kita akan terus berusaha memperkukuh prestasi serta meningkatkan pembangunan pemain-pemain, sekali gus membentuk pasukan ini menjadi lebih mantap sebagai persiapan menyertai kejohanan-kejohanan di peringkat domestik mahupun serantau," katanya lagi.
Kayans FC berjaya memberikan saingan menarik kepada Pasukan Bola Sepak Kebangsaan U19 Sabah (Sabah FC) dan menunjukkan prestasi yang membanggakan selepas berjaya mengejutkan pasukan Kinabalu Knight FC dengan kemenangan 3-0.
Ketua jurulatih mengakui pasukannya mempunyai peluang untuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasi dan reputasi para pemain.
"Inilah proses pembelajaran dan peluang untuk kita menilai sejauh mana perkembangan pasukan dan seterusnya mengatur lebih banyak perancangan bagi pembangunan pasukan ini," ujarnya lagi.