HYDERABAD, 3 Ogos. - Agensi pelaburan Tunisia berhasrat menarik syarikat Malaysia dengan menawarkan sokongan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran Arab dan Eropah.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Algeria Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan, yang turut ditauliahkan ke Tunisia, hasrat itu disampaikan oleh Pengurus Besar Agensi Penggalakan Pelaburan Asing Tunisia (FIPA), Jalel Tebib, dalam satu pertemuan yang diadakan di Tunis baru-baru ini.
"Saya memberi taklimat kepada FIPA mengenai minat yang semakin meningkat dalam kalangan konglomerat Malaysia untuk meneroka kerjasama perdagangan dan perindustrian di rantau ini," kata Rizany kepada Bernama pada Isnin.
FIPA turut memaklumkan kepada duta itu mengenai rangka kerja pelaburan Tunisia, sektor-sektor keutamaan serta kelebihan daya saing negara itu berikutan hubungan rapatnya dengan pasaran di Afrika Utara, Eropah dan negara-negara Arab.
"Kami membincangkan potensi kerjasama dalam penggalakan pelaburan, pertukaran maklumat pasaran serta misi perdagangan yang melibatkan entiti sektor swasta Malaysia dan Tunisia," kata beliau.
Perdagangan antara Malaysia dan Tunisia bernilai US$261 juta pada 2025. - ©BERNAMA