ISTANBUL, 3 Ogos. - Satu gempa bumi bermagnitud 5.3 melanda wilayah Ismailia di timur laut Republik Arab Mesir pada awal pagi Isnin, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).
AFAD memaklumkan gempa itu berlaku pada 3 pagi waktu tempatan (0000 GMT) pada kedalaman 5.47 kilometer. Media tempatan Republik Arab Mesir melaporkan gegaran itu turut dirasai di beberapa bandar, termasuk ibu negara Kaherah, namun setakat ini tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.
Bulan Sabit Merah Mesir memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kecederaan atau kerosakan setakat ini. Pertubuhan itu turut menggesa penduduk supaya menjauhi bangunan lama atau yang mengalami rekahan yang jelas.
Kementerian Kesihatan Mesir mengaktifkan pelan tindak balas kecemasannya dan meletakkan hospital pada tahap kesiapsiagaan tertinggi. - ©BERNAMA