Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Yang Ke-80 Tahun. Majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Istana Nurul Iman.
Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Yang Ke-80 Tahun ini merupakan satu detik penting dalam menghargai kewibawaan serta sumbangan baginda berdua yang tidak ternilai kepada Negara Brunei Darussalam (NBD) dan rakyatnya. Kepimpinan baginda berdua, komitmen terhadap kesejahteraan rakyat serta usaha dalam memelihara keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara terus menjadi sumber inspirasi kepada rakyat NBD.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, berserta isteri masing-masing.
Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya dijunjung menandatangani Lembaran Kenangan sebelum disembahkan dengan Pesambah Kek sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan dan Ulang Tahun Hari Puja Usia serta dua buah pesambah daripada Jawatankuasa Majlis, antaranya sebuah Buku Khas bertajuk ‘Raja dan Permaisuri : Legasi Diraja’ yang mengabadikan kehidupan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, dengan mengetengahkan peranan baginda berdua dalam memacu pembangunan negara, memelihara agama Islam, menjaga kebajikan rakyat serta mengukuhkan identiti Melayu Islam Beraja.
Peranan dan jasa baginda berdua akan terus terpahat dalam lembaran sejarah serta menjadi sebahagian daripada perkembangan NBD, sekali gus menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada generasi kini dan akan datang dalam usaha mempertahankan dan memajukan negara yang tercinta ini.
Pada majlis berkenaan, Doa Khas dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; diikuti sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam sembah alu-aluannya merafakkan sembah menjunjung kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya atas perkenan baginda berdua berangkat menyerikan Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan dan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah DYMM - Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, iaitu sebagai tanda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala di atas limpah rahmat dan nikmat yang dikurniakan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Dalam sembah Yang Berhormat turut menzahirkan penghargaan terhadap lapan dekad usia baginda berdua bukan sahaja mencerminkan perjalanan kehidupan yang panjang lagi penuh keberkatan, sarat dengan pengalaman, ketabahan, kebijaksanaan dan himpunan kenangan yang berharga, bahkan turut menjadi lambang segala jasa, pengorbanan dan limpah kasih sayang yang telah dicurahkan kepada rakyat dan penduduk serta NBD yang tercinta.
“Alhamdulillah, di bawah naungan dan pemerintahan bijaksana Kebawah Duli Tuan Patik, NBD terus menikmati keamanan, kestabilan dan kesejahteraan. Sesungguhnya, jalinan erat di antara raja dan rakyat merupakan suatu nikmat dan keistimewaan yang amat berharga, bertaut dalam kasih sayang dan kesetiaan, serta terpelihara dalam keakraban tanpa tembok pemisah.
“Limpah kasih dan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik sentiasa terserlah melalui keberangkatan-keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik bercemar duli bersama rakyat dan penduduk, berkenan meluangkan masa untuk beramah-mesra, mendengar sendiri suara hati dan luahan rasa mereka, serta memberikan perhatian terhadap kesejahteraan setiap lapisan masyarakat.
“Begitu juga keperibadian mulia dan sifat penyayang Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, yang menjadi sumber inspirasi kepada abis hamba Kebawah Duli Tuan Patik serta sekalian rakyat. Keprihatinan dan sumbangan yang tidak pernah putus dalam memelihara kesejahteraan keluarga, menyantuni masyarakat serta memperkasa kaum hawa mencerminkan ketulusan budi dan keluhuran jiwa yang amat disanjung,” sembah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan seiring dengan segala jasa bakti tersebut, kelembutan budi dan limpah kasih baginda turut menyentuh lubuk sanubari rakyat jelata. Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri bukan sahaja seorang permaisuri yang disanjung tinggi, bahkan menjadi lambang kasih sayang yang kekal bersemayam di hati hamba Kebawah Duli Tuan Patik serta rakyat sekalian.
Majlis turut diserikan lagi dengan tayangan video yang mengetengahkan Buku Khas bertajuk ‘The King and the Queen : A Royal Legacy”, di samping persembahan syair bertajuk ‘Julangan Kasih Dirgahayu 80’, persembahan nasyid ‘Raja Buah Hati Rakyat’ oleh para pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) serta persembahan muzik khas gabungan orkestra gabungan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan belia-belia dari Brunei Youth Symphony.
Turut berangkat dan hadir bagi meraikan majlis berkenaan, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ketua Hakim Syarie; Ketua Hakim Mahkamah Besar; Ahli-ahli Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi; serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.