75 kucing ditemukan dalam apartmen kecil di Paris selepas penyewa dihalau

22 Sep 2026 - 12:07pm

PARIS, 22 Sept. -  Aktivis kebajikan haiwan menemukan lebih 75 ekor kucing di sebuah apartmen  kecil di Paris, lapor Agensi Akhbar Jerman (DPA), memetik media Republik Perancis pada Isnin.

Penemuan itu selepas satu pengusiran paksa dari apartmen  perumahan sosial di daerah (arondisemen) ke-15, polis dan seorang bailif meminta bantuan badan amal YouCare, lapor akhbar Le Parisien. 

Ketika mereka melawat pada Khamis, para sukarelawan menemukan 75 ekor kucing di apartmen  itu, yang berukuran kira-kira 50 meter persegi, kata pengerusi pertubuhan itu, Thomas Moreau.

Haiwan tersebut  telah dipelihara di sana dalam keadaan yang teruk, dan ada yang dibawa ke klinik veterinar.

"Bangkai anak kucing juga ditemukan  di dalam peti sejuk," kata Moreau.

Badan amal itu tidak dapat mengambil semua kucing berkenaan sekali gus dan melancarkan rayuan untuk mendapatkan bantuan.

Kira-kira 30 ekor kucing terpaksa ditinggalkan di apartmen  itu buat sementara waktu dan dijaga oleh sukarelawan.

Pengerusi badan amal itu memberitahu media, kejadian tersebut kemungkinan kes penimbunan haiwan (animal hoarding) atau sindrom Noah.

Individu  yang mengalami keadaan psikiatri berkenaan  cenderung  menyimpan sejumlah besar haiwan peliharaan di dalam ruang terkurung tanpa dapat menjaga, memberi makan atau menyediakan rawatan perubatan sewajarnya. - ©BERNAMA