Majlis Resepsi raikan Hari Kebangsaan Arab Saudi Ke-95

24 Sep 2026 - 5:47am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

JERUDONG, Rabu, 23 September. - Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam (NBD) malam tadi mengadakan Majlis Resepsi Ulang Tahun Hari Kebangsaan Arab Saudi Ke-95 berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

Ketibaan tetamu kehormat dialu-alukan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha. Acara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Awang Muhammad Ali dari Sekolah Arab Rimba.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat juga menerima cenderamata dan bunga daripada Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke NBD.

Sambutan tahun ini bertemakan 'Kemuliaan Kami Adalah Pada Jati Diri Kami' atau 'Our Pride Is In Our Nature', melambangkan kebanggaan terhadap ciri-ciri utama masyarakat Arab Saudi seperti keberanian, wawasan, keaslian, keazaman, kemurahan hati, dan layanan tetamu yang tinggi (‘hospitality’) di samping menggambarkan kebanggaan warisan masa lalu dan kemajuan masa hadapan.