Berangkat menghadiri Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-81

24 Sep 2026 - 6:01am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, Rabu, 23 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam, kini berada di New York, Amerika Syarikat, bagi menghadiri Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sesi Ke-81 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen pada sebelah pagi berangkat menghadiri upacara pembukaan Perdebatan Umum Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-81 yang diadakan di bawah tema, ‘Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations That Delivers for All’.

Sementara pada sebelah malam, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam berangkat menghadiri Majlis Resepsi yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Donald J. Trump, bersempena dengan Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-81 di Lotte New York Palace.