Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Rabu, 23 September. - Pameran Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36 tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas mengetengahkan tema ‘Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif’.
Sub-tema ‘Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif’ menekankan peranan guru sebagai pendidik berwibawa yang membimbing pelajar secara berhikmah, bijaksana dan beretika dalam membentuk pemikiran yang kritis, kreatif dan berdaya tahan, di samping memupuk sahsiah terpuji serta akhlak mulia.
Melalui bimbingan yang berterusan, guru berperanan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, inklusif dan harmoni, berteraskan nilai kemanusiaan sebagai asas kepada pendidikan yang lestari.
Pada pameran tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan melancarkan Portal Pelancongan Pendidikan NBD.
Pelancaran Portal Pelancongan Pendidikan NBD merupakan inisiatif strategik negara dalam memperkukuh kedudukan NBD sebagai destinasi pendidikan bertaraf antarabangsa, hasil kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perdagangan, Ekonomi dan Industri.
Portal ini berfungsi sebagai gerbang digital nasional yang menghimpunkan peluang pendidikan, penyelidikan dan pengalaman pembelajaran dalam satu platform bersepadu.
Ia memudahkan pelajar, penyelidik, ahli akademik dan pengunjung antarabangsa meneroka pelbagai program, sambil mempromosikan NBD sebagai destinasi pendidikan berkualiti tinggi yang aman, selamat, lestari dan berteraskan nilai Melayu Islam Beraja (MIB).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya dijunjung menyaksikan pameran-pameran di bawah Pendidikan Teras iaitu dari Sekolah Rendah Kampung Menengah dengan tajuk pameran ‘Project G.R.O.W. (Green Rainwater & Outdoor Wisdom) dan Amalan Hijau Sekolah serta Sekolah Menengah Lambak Kiri dengan tajuk pameran ‘Garden Based Learning’.
Baginda kemudiannya berkenan menyaksikan pameran dari Jabatan Pendidikan Khas dengan tajuk pameran ‘Greening Education : Memupuk Kelestarian Melalui Inovasi, Pendidikan dan Amalan Hijau di Sekolah-sekolah’. Pameran ini mengetengahkan usaha pemuliharaan laut dan alam sekitar melalui pendidikan, aktiviti kesukarelawanan serta inovasi teknologi hijau.
Sementara itu, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dari Pendidikan Swasta dengan tajuk pameran ‘Perubahan Melalui Kelestarian (Change through Sustainability)’ mengetengahkan komitmen JIS dalam membudayakan kelestarian melalui pendidikan dan amalan mesra alam.
Sebagai sekolah pertama di NBD yang melaksanakan pemasangan sistem tenaga solar berskala besar pada Jun 2024, JIS telah memasang lebih daripada 600 panel solar yang dijangka menjana sekitar 600,000kWh tenaga bersih setiap tahun, sekali gus mengurangkan jejak karbon sekolah dan menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Antara yang turut menyertai pameran ialah institusi pendidikan teknikal dan vokasional serta institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Pameran Hari Guru Ke-36 Tahun 2026 pada kali ini terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Ruang Centerpiece dan Ruang Pameran. Dalam Ruang Centrepiece mempamerkan petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Syair Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Manakala bagi Ruang Pameran pula mengetengahkan pameran penyertaan pelajar daripada sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan teknikal dan vokasional serta institusi pengajian tinggi, di samping penglibatan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sebanyak sembilan petak pameran disediakan bagi mengetengahkan pelbagai inisiatif, inovasi dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan. Pameran ini turut diselajurkan dengan dua pelancaran utama, iaitu Portal Pelancongan Pendidikan NBD dan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan 2026–2035.
Pada pameran tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut melancarkan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan 2026–2035. Ia menandakan komitmen baharu NBD dalam memperkukuh celik kewangan, daya tahan kewangan dan kesejahteraan kewangan rakyat.
Diterajui oleh Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (National Financial Literacy Council, NFLC), strategi ini menggariskan pendekatan bersepadu untuk memperkasa individu serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan bagi membuat keputusan kewangan yang bijak, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Dalam pameran tersebut, MKCK (Urusetia Kementerian Pendidikan, Tabung Amanah Pekerja dan Brunei Darussalam Central Bank) telah melancarkan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan 2026–2035, dengan mengetengahkan visi, strategik utama dan pelan pelaksanaannya dan melancarkan laman sesawang Usinwise (Fasa 2), platform digital celik kewangan kebangsaan yang menyediakan sumber pendidikan, alat praktikal dan kandungan interaktif bagi menyokong pembelajaran kewangan sepanjang hayat.
Pelancaran ini juga merupakan julung kalinya MKCK menerbitkan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan kepada orang ramai, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap hala tuju negara dalam memperkukuh celik kewangan.