Kanser, penyakit jantung antara punca utama kematian rakyat Republik Korea pada 2025

22 Sep 2026 - 12:06pm

SEOUL, 22 Sept. - Kanser, penyakit jantung dan pneumonia merupakan antara punca utama kematian rakyat Republik Korea pada 2025, menurut data yang dikeluarkan pada Selasa, manakala bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan mereka yang berusia 40-an dan ke bawah, lapor Agensi Berita Yonhap.

Tahun lepas, sebanyak 362,968 kematian dilaporkan di negara itu, meningkat 1.2 peratus berbanding 2024, menurut Statistics Korea.

Agensi itu memaklumkan kadar kematian tahun lepas ialah 712.6 bagi setiap 100,000 penduduk Republik Korea, turut meningkat 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Laporan itu menunjukkan kanser menyumbang 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian pada 2025, diikuti penyakit jantung (9.4 peratus) dan pneumonia (8.5 peratus). Ketiga-tiga punca itu menyumbang lebih 42 peratus daripada jumlah  kematian.

Sementara itu, bunuh diri merupakan punca kematian kelima tertinggi dalam kalangan rakyat Republik Korea, dengan 4.1 peratus.

Seramai 14,144 orang membunuh diri tahun lepas, menurun 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian bagi mereka yang berusia antara 10 hingga 49 tahun di Republik Korea pada 2025 dan punca kematian kedua tertinggi bagi mereka yang berusia 50-an. - ©BERNAMA