Sukan Asia : Republik Rakyat China cipta dua rekod dunia, raih emas 10m air rifle berpasukan campuran

22 Sep 2026 - 12:06pm

NAGOYA (JEPUN), 22 Sept. - Republik Rakyat China meraih gelaran acara 10 meter air rifle berpasukan campuran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Selasa, dengan Wang Zifei dan juara Olimpik Paris Sheng Lihao mencipta rekod dunia masing-masing dalam pusingan kelayakan dan final, lapor Xinhua.

Wang, 19, dan Sheng mengungguli pusingan kelayakan dengan 638.9 mata, memperbaharui rekod dunia terdahulu sebanyak 2.0 mata untuk mara ke final di tempat pertama.

Republik Rakyat China mendahului sejak peringkat awal final. Pada peringkat penyingkiran, Wang dan Sheng kekal di tempat pertama dengan 379.5 mata, 1.3 mata di hadapan Jepun, manakala India menjadi pasukan pertama tersingkir.

Dalam siri tiga tembakan berikutnya, Wang dan Sheng mengumpul 64.1 mata untuk melebarkan kelebihan kepada 3.5 mata, manakala Jepun tersingkir di tempat ketiga.

Republik Rakyat China terus melebarkan jurang dalam siri tiga tembakan terakhir sebelum menamatkan saingan dengan 507.1 mata untuk meraih emas, 4.2 mata di hadapan Korea Selatan yang menduduki tempat kedua. Catatan itu memperbaharui rekod dunia terdahulu sebanyak 0.4 mata, manakala Jepun meraih gangsa dengan 439.7 mata.

Wang sempat mencatat 9.4 dan 9.9 mata pada final, namun segera kembali menemui rentaknya untuk membantu Republik Rakyat China meraih pingat emas.

"Kesilapan boleh berlaku dalam pertandingan. Saya hanya cuba kembali fokus, mendapatkan semula rentak biasa dan melakukan tembakan pada tahap seperti yang saya lakukan ketika latihan," kata Wang.

Ia merupakan pingat emas ketiga Sheng pada Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas memenangi acara 10m air rifle berpasukan lelaki dan individu. Beliau turut mencipta rekod dunia dalam kedua-dua acara berpasukan.

"Saya tidak menjangka dapat melakukan tembakan sebaik itu. Catatan itu jauh lebih tinggi daripada yang biasanya saya peroleh ketika latihan, jadi saya rasa saya juga sedikit bernasib baik," katanya. - ©BERNAMA