10 murid persekolahan ugama terima sumbangan

9 Okt 2026 - 6:44am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

LUMUT, Khamis, 8 Oktober. - Seramai 10 murid persekolahan ugama dari Daerah Belait menerima sumbangan menerusi Program Jalinan Silaturahim anjuran Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sumbangan berupa barangan keperluan, termasuk peralatan dan pakaian seragam sekolah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kenaziran, Dayang Hajah Ernie Yusnani binti Haji Md. Noor di Dewan Sekolah Ugama Sungai Taring, Lumut, petang tadi.

Program tahunan berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, di samping memberi dorongan kepada murid-murid untuk terus bersemangat dalam menuntut ilmu dan mencapai kejayaan dalam pembelajaran.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan murid serta mengeratkan jalinan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan agensi yang terlibat selaras dengan tuntutan Islam untuk saling membantu, mengambil berat dan menjaga kebajikan sesama umat Islam, khususnya mereka yang memerlukan.