Tadbir urus adaptif penting hadapi cabaran global

9 Okt 2026 - 7:12am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Seramai 30 peserta menerima sijil tamat program pada Majlis Penutup Program Perkembangan Eksekutif Ke-21 bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dalam Dasar Awam dan Pengurusan (EDP 21/2026) anjuran Kementerian Pertahanan, berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta dari negara-negara sahabat yang menyertai, setiausaha-setiausaha tetap dari kementerian -kementerian berkenaan, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, wakil-wakil dari Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP), Universiti Nasional Singapura, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Semasa berucap pada majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi antara lain berkata, pembangunan profesional dan kepimpinan adaptif dalam kalangan pegawai-pegawai kanan kerajaan adalah penting dalam menghadapi persekitaran yang semakin tidak menentu dan berkembang dengan pesat.

Dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin menjadi ciri berterusan landskap global, tuntutan terhadap kerajaan juga semakin kompleks ujar Yang Berhormat.

Sehubungan itu tambah Yang Berhormat, tadbir urus adaptif bukan lagi sekadar sesuatu yang diinginkan, malah menjadi satu keperluan bagi memastikan institusi awam kekal responsif, berdaya tahan dan mampu bertindak dengan jelas dan berkesan.

Yang Berhormat turut menekankan mengenai peranan EDP dalam memperkukuh pendekatan Whole of Government, membina jaringan profesional serta memupuk kepercayaan antara kementerian, jabatan dan rakan kongsi antarabangsa, di samping meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam menangani cabaran rentas sektor.

Menurut Yang Berhormat, nilai EDP Kementerian Pertahanan bukan sekadar dalam memperkukuh keupayaan pegawai untuk mentadbir proses sedia ada, tetapi juga dalam mempersiapkan pemimpin untuk berfikir secara strategik merentasi sempadan institusi, menyesuaikan diri dengan perubahan serta membuat pertimbangan yang tepat apabila berdepan dengan keadaan yang mencabar andaian sedia ada.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Dr. Sabrina binti Dato Paduka Haji Mohd. Daud, mengetengahkan penambahbaikan program yang berteraskan konteks dasar Negara Brunei Darussalam (NBD) serta pembelajaran perbandingan dari luar negara, di samping menghargai sumbangan rakan-rakan program dan organisasi-organisasi yang mengambil bahagian.

Majlis juga mendengarkan ucapan daripada Naib Dekan Hal Ehwal Akademik merangkap Profesor Madya di LKYSPP, Profesor Suzaina Kadir, yang menekankan kepentingan program tersebut dalam mendukung keutamaan pembangunan NBD, khususnya melalui pembelajaran praktikal dan penglibatan aktif para peserta.

Mewakili kumpulan peserta, Komander Pengiran Haji Khairul Anwar bin Pengiran Dr. Haji Abu Bakar, Tentera Laut Diraja Brunei turut berkongsi pengalaman, dengan menekankan kepentingan penggubalan dasar berasaskan bukti, kerjasama merentas sektor, serta penerapan ilmu dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

EDP Siri Ke-21 turut menjadi platform penting dalam meningkatkan kesefahaman antara kementerian serta memperkukuhkan diplomasi pertahanan melalui penglibatan peserta antarabangsa.

Kohort tahun ini terdiri daripada 30 pegawai kanan, merangkumi 20 pegawai Kementerian Pertahanan, dua pegawai PPDB, seorang pegawai JPM dan tiga pegawai Kementerian Pendidikan serta empat peserta antarabangsa, masing-masing seorang dari Malaysia, Republik Singapura, Republik Rakyat China dan Kesultanan Oman.

Program selama 14 minggu yang bermula pada 6 Julai 2026 ini dikendalikan oleh IPPSSHHB dengan kerjasama pakar dan tenaga pengajar daripada LKYSPP, Universiti Nasional Singapura.

Antara pengisian program merangkumi kuliah, bengkel, latihan berasaskan senario, lawatan lapangan dan projek berkumpulan, yang diakhiri dengan penyediaan serta pembentangan Kertas Latihan Analisis Dasar.

Para peserta turut mengikuti lawatan sambil belajar selama tiga hari ke Malaysia bagi memperoleh pengalaman pembelajaran secara langsung serta memperluas perspektif antarabangsa. Pendedahan tersebut dilengkapi dengan kandungan tempatan yang memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai konteks institusi, sosial, ekonomi dan strategik NBD.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, EDP telah melahirkan seramai 533 graduan dalam kalangan pegawai kanan daripada pelbagai sektor kerajaan dan perkhidmatan keselamatan.

Program ini terus berperanan dalam membangunkan kepimpinan strategik, memperkukuh jaringan profesional serta meningkatkan keupayaan pegawai kanan untuk menyumbang secara berkesan kepada pentadbiran awam dan pembangunan negara, selaras dengan Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 (KPPK 2026) dan matlamat Wawasan Brunei 2035.