Pameran serlah peranan belia dalam pembangunan negara

9 Okt 2026 - 7:30am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Pameran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 Tahun 2026 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini, mengetengahkan perjalanan pembangunan belia daripada pembangunan potensi diri sehingga kepada peranan belia sebagai peneraju pembangunan negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan Pameran Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Konsep pameran berkenaan mengambil inspirasi daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang menekankan keperluan membina belia yang berjati diri, berakhlak, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran, di samping memperkasakan mereka untuk menjadi pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.

Pameran menggunakan pendekatan ‘Perjalanan Pembangunan Belia’ yang memperlihatkan perkembangan belia secara berperingkat melalui potensi, jati diri, akhlak, sumbangan dan penerajuan.

Kluster Pertama: ‘Semangat Juara’ mempamerkan penerima-penerima Ganjaran Kemenangan di bawah Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan sebagai simbol bahawa setiap belia mempunyai potensi yang perlu diberikan ruang dan peluang untuk berkembang.

Sukan menjadi salah satu medium dalam membentuk disiplin, daya tahan, kepimpinan, kerja berpasukan dan semangat untuk mencapai kecemerlangan. Antara pempamer yang diketengahkan termasuk atlet dalam bidang polo, wusyu dan silat.

Manakala pameran Kluster Kedua : ‘Jati Diri’ menumpukan kepada potensi yang dimiliki perlu disertai dengan jati diri yang kukuh melalui usaha membentuk belia yang berdisiplin, bertanggungjawab, mempunyai semangat kebangsaan serta berpegang kepada nilai agama dan Melayu Islam Beraja (MIB).

Antara pempamer yang terlibat ialah Pasukan Polis Diraja Brunei yang mengetengahkan kesedaran belia mengenai keselamatan digital dan ancaman penipuan dalam talian serta kepentingan berwaspada.

Biro Kawalan Narkotik pula mempamerkan usaha membentuk belia yang bijak membuat pilihan serta menjauhi penyalahgunaan dadah dan pengaruh negatif, manakala Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), mengetengahkan pembentukan disiplin, ketahanan diri, kepimpinan dan semangat kebangsaan dalam kalangan belia.

Sektor Kebudayaan, KKBS, turut mempamerkan penglibatan belia dalam menghayati, memelihara dan meneruskan budaya serta warisan negara, sementara AJKT Belia dan Beliawanis Masjid Senegara mengetengahkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berteraskan nilai agama dan MIB.

Pameran Kluster Ketiga: ‘Akhlak’ pula mengetengahkan pembangunan belia dalam merangkumi pembentukan akhlak dan nilai, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian, malah membentuk insan yang mempunyai sifat empati, integriti, kasih sayang, hormat dan keprihatinan terhadap orang lain.

Kumpulan Al-Qudwah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), mengetengahkan pendekatan membentuk belia berilmu dan berakhlak melalui penghayatan nilai keagamaan dalam kehidupan.

Skim Tilawah Al-Quran Remaja pula mempamerkan usaha membentuk belia yang mencintai Al-Quran serta menghayati dan mengamalkan nilai-nilainya.

Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) seterusnya mengetengahkan usaha membentuk belia yang prihatin, bertanggungjawab dan mengamalkan nilai murni dalam masyarakat, manakala ‘Demi Gadis’ mempamerkan usaha memperkasa belia wanita melalui pembangunan diri, keyakinan dan pengukuhan nilai positif.

Melalui Kluster Keempat: ‘Kesejahteraan Masyarakat’, kesukarelawanan, inklusiviti, kesihatan, kebajikan dan kerjasama antara generasi belia turut diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan masyarakat.

Unit Warga Emas, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), mempamerkan peranan belia dalam mengukuhkan hubungan antara generasi melalui nilai hormat, prihatin dan kebersamaan.

Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula mengetengahkan sumbangan belia melalui kesukarelawanan serta penglibatan aktif dalam membantu masyarakat.

SMARTER Brunei mempamerkan peranan belia dalam menyokong inklusiviti dan membina masyarakat yang lebih prihatin serta menerima kepelbagaian, manakala Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) mengetengahkan peranan belia dalam memahami kepentingan sokongan, penerimaan dan peluang pemulihan dalam masyarakat.

Sebagai kemuncak perjalanan pameran, peranan belia dalam pembangunan ekonomi negara turut diketengahkan melalui sektor minyak dan gas, pemakanan, pelancongan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta perkhidmatan.

Belia yang telah dibentuk melalui potensi, jati diri, akhlak, daya tahan dan pengalaman menyumbang kepada masyarakat seterusnya bersedia untuk menjadi pencipta peluang, inovator, usahawan, profesional dan pemimpin.

Antara pempamer dalam Kluster Kelima: ‘Sektor Keutamaan Ekonomi Negara’ ialah As-Sehha Group yang mengetengahkan ‘YEGGOO’, produk telur pasteur termasuk telur cecair penuh, putih telur dan kuning telur sebagai inovasi dalam sektor agrimakanan.

Tazrah Digital Sdn. Bhd. pula mempamerkan Tazrah Mobile App yang menyediakan Al-Quran, waktu solat, arah kiblat, masjid berdekatan dan tasbih digital dalam satu platform iaitu aplikasi digital.

Sementara itu, Borneo Kustom Show mengetengahkan kreativiti dan kemahiran automotif serta kustom sebagai tarikan pelancongan dan peluang ekonomi bagi belia.

Poni Group pula mempamerkan inisiatif berkaitan kelestarian dan pemuliharaan marin serta peluang penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi hijau.

Secara keseluruhannya, pameran berkenaan memperlihatkan pembangunan belia sebagai satu perjalanan yang bermula dengan pengembangan potensi diri, diikuti pembentukan jati diri dan akhlak, penglibatan dalam masyarakat dan seterusnya penerajuan dalam pembangunan ekonomi serta negara.