Khatam Al-Quran sempena Penukaran Nama Bandar Brunei ke BSB Ke-56

9 Okt 2026 - 7:18am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Oktober. - Sempena memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan (BSB) yang Ke-56, Majlis Khatam Al-Quran, Bacaan Ratib Al-Attas, Selawat Tafrijiyyah dan Doa Kesyukuran telah berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Majlis anjuran Jabatan Bandaran BSB itu disemarakkan dengan penyertaan seramai 339 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pihak swasta serta pertubuhan masyarakat.

Antara yang menyertai pembacaan Khatam Al-Quran ialah warga Jabatan Bandaran BSB, Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Universiti Sultan Sharif Ali, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kumpulan Muslimah Meraih Barkah, Biro Wanita serta Majlis Perundingan Kampung Tungku.

Bacaan Khatam dipimpin oleh Awang Muhammad Zulhelmi Hashim bin Jainudin, penuntut ITQSHHB. Sementara itu, Bacaan Takhtim, Doa Khatam dan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Md. Hasnal bin Haji Mohamad.

Manakala bacaan Ratib Al-Attas, Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan pula dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Md. Salleh.

Majlis tahunan berkenaan bukan sahaja menjadi wadah memperingati detik bersejarah penukaran nama Bandar Brunei kepada BSB, malah mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh penghayatan Islam dalam kehidupan masyarakat di ibu negara.

Penganjuran majlis ke-56 itu turut menzahirkan hasrat untuk terus memelihara imej BSB sebagai sebuah bandar yang baik, indah dan berteraskan nilai-nilai Islam, selaras dengan kedudukannya sebagai bandar negara Melayu Islam Beraja dan bandar Negara Zikir.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta penghulu -penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari seluruh daerah.