Hubungan Brunei-Republik Korea terus diperkukuh

9 Okt 2026 - 7:22am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 

GADONG, Khamis, 8 Oktober. - Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam malam tadi mengadakan Majlis Resepsi sempena memperingati Hari Kebangsaan Republik Korea yang berlangsung di Songket Ballroom, The Rizqun International Hotel, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis berkenaan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, bersama isteri, Datin Zubaidah binti Haji Mahmud.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, anggota kor diplomatik, masyarakat Republik Korea di negara ini dan para jemputan khas.

Dalam ucapannya, Duta Besar Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook menekankan hubungan persahabatan dan kerjasama erat yang telah terjalin selama 42 tahun antara Republik Korea dan Negara Brunei Darussalam.

Tuan Yang Terutama Duta Besar Republik Korea ke NBD turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh, khususnya dalam bidang perdagangan, transformasi digital, Kecerdasan Buatan serta pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Tuan Yang Terutama turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan persahabatan berterusan daripada kerajaan dan rakyat NBD, serta berharap agar perkongsian yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh pada masa akan datang.

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek oleh tetamu kehormat bersama TYT sebagai simbolik Sambutan Hari Kebangsaan Republik Korea.