Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morsidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) merupakan wadah penting negara dalam mengiktiraf sumbangan, pencapaian dan penglibatan belia dalam pelbagai bidang. Sambutan ini juga menjadi ruang untuk menampilkan bakat generasi muda serta memperkukuh kerjasama seluruh lapisan masyarakat dalam pembangunan belia.
Setelah 21 tahun sambutan ini diraikan, peranan belia terus berkembang maju. Tempoh dua dekad ini membuktikan keberhasilan negara dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, bersahsiah mulia, celik digital, dan berdaya saing, dengan berasaskan nilai serta akhlak Islam.
Tema Sambutan HBK pada tahun ini, ‘Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara’, mencerminkan kematangan dan evolusi peranan belia. Tema ini membawa pengertian besar tentang bagaimana peranan golongan muda telah berubah dan semakin berkembang.
Golongan belia bukan lagi sekadar penerima manfaat daripada agenda pembangunan mereka. Sebaliknya, belia kini semakin tampil kehadapan selaku rakan strategik, penyumbang dan pencetus perubahan, dan menjadi antara peneraju utama yang bersama-sama memacu aspirasi dan kemajuan negara.
Demikian antara sembah alu-aluan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, pagi tadi.
Dalam hubungan ini sembah Yang Berhormat lagi, Kerajaan Kebawah Duli Tuan Patik melalui Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) akan terus berusaha menyediakan ekosistem pembangunan belia yang inklusif, progresif dan responsif terhadap keperluan semasa, selaras dengan hasrat Strategi dan Dasar Belia Negara.
Namun, kejayaan usaha ini turut bergantung kepada kesediaan para belia sendiri untuk merebut peluang, mencabar kemampuan diri serta tampil membawa idea, tenaga dan kepimpinan mereka melalui jalan yang betul.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan beberapa perkembangan dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak KKBS bersama agensi-agensi berkaitan dalam sektor kebeliaan, seperti Program Pembiayaan BizBelia, yang dilancarkan semasa Sambutan HBK Kali Ke-20 tahun lepas dengan kerjasama Bank Usahawan terus membuka peluang kepada belia dalam bidang keusahawanan. Alhamdulillah, sehingga kini sebanyak lapan permohonan telah menerima pembiayaan.
Kongsi Yang Berhormat lagi, dalam bidang pembangunan kemahiran dan jati diri, seramai 129 orang belia telah mengikuti Program Pembangunan Belia Sesi 2026 di Pusat Pembangunan Belia. Pada masa yang sama, seramai 845 orang belia telah mengikuti pelbagai program anjuran Outward Bound Brunei Darussalam.
Terdahulu dalam sembah, Yang Berhormat menyembahkan, usaha memperkasa belia turut diperkukuh melalui Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara Tempoh Enam Bulan, yang disertai oleh 28 orang belia berumur antara 20 hingga 25 tahun. Dua komponen baharu iaitu Siap Siaga Masa Depan dan Program Pertahanan Awam, diperkenalkan bagi melengkapkan para pelatih dengan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka.
Dalam memastikan suara belia terus didengar sembah Yang Berhormat, pelbagai program dan sesi libat urus telah dilaksanakan, termasuk Muhibah Pergerakan Belia, Focus Group Discussions serta Youth Town Hall, yang secara keseluruhannya menghimpunkan lebih 600 orang peserta. Pada masa yang sama, kira-kira 4,700 orang secara keseluruhannya telah menerima manfaat daripada Skim Bantuan Perkasa belia.
Pendedahan belia di peringkat serantau dan antarabangsa juga terus diberikan perhatian. Seramai 47 orang belia telah menyertai pelbagai program antarabangsa pada tahun ini. Negara Brunei Darussalam juga buat julung kalinya menjadi tuan rumah kepada Program Bas Belia BIMP-EAGA pada penghujung tahun 2025.
Peluang seperti ini sembah Yang Berhormat akan terus diperluaskan, termasuk penyertaan belia negara dalam pelbagai Program Pertukaran Belia.
Menyentuh mengenai Sambutan HBK pada tahun ini, Yang Berhormat turut menyembahkan bahawa konsep sambutan dan pameran telah dirangka dengan menjunjung titah Kebawah Duli Tuan Patik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Tuan Patik Yang Ke-80, yang menzahirkan harapan agar generasi muda, khususnya para belia tidak sekadar menjadi pengguna atau pemerhati kepada perubahan dan kemajuan teknologi, tetapi tampil sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin yang berwawasan.
Sejajar dengan hasrat tersebut serta tema ‘Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara’, Pameran Hari Belia pada tahun ini memaparkan peranan, pencapaian dan sumbangan belia dalam mendukung Wawasan Brunei 2035. Pameran ini menghimpunkan 18 pempamer, dalam lima kluster, iaitu Semangat Juara, Jati Diri, Akhlak, Kesejahteraan Masyarakat dan Sektor Ekonomi Keutamaan Negara. Pameran ini, bukan sahaja meraikan apa yang telah dicapai oleh para belia, tetapi juga mempamerkan apa yang mampu mereka capai apabila diberikan kepercayaan, peluang dan ruang untuk memimpin.
Yang Berhormat Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah-anugerah HBK 2026 atas pencapaian dan sumbangan masing-masing. Semoga pengiktirafan yang diterima menjadi dorongan untuk terus melangkah lebih jauh dan menjadi inspirasi kepada para belia yang lain.
Yang Berhormat dalam sembah alu-aluannya terdahulu menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja.
“Keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke majlis ini amat besar maknanya kepada seluruh warga belia. Ia menandakan keprihatinan dan perhatian berterusan Kebawah Duli Tuan Patik terhadap pembangunan serta kemajuan generasi muda negara, sekali gus menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada para belia untuk terus memperkasa diri, berbakti dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara,” sembah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.