Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Ihsan Pusat Belia Tutong
TUTONG, Isnin, 5 Oktober. - Kempen Derma Darah anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah diadakan di Pusat Belia Tutong pada hari ini bertempat di Pusat Belia Tutong, di sini.
Kempen berkenaan adalah bagi menggalakkan nilai keprihatinan dan kesukarelawanan menerusi Kempen Derma Darah. Sebanyak 19 pain darah berjaya dikumpulkan pada kempen yang bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
Kempen berkenaan merupakan salah elemen iaitu GIVE (Semangat Kemasyarakatan) dari Program Pusat Belia : 'PLAY - BIZ AND GIVE' anjuran JBS Cawangan Daerah Tutong yang bermula pada 2 hingga 5 Oktober 2026. Kempen Derma Darah - GIVE (Semangat Kemasyarakatan) berkenaan sebagai bentuk sumbangan nyata belia kepada masyarakat dan sistem kesihatan negara.
Ia juga merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan tiga elemen utama iaitu rekreasi, keusahawanan dan tanggungjawab sosial demi mewujudkan persekitaran Pusat Belia yang lebih dinamik, inklusif serta mesra belia.
Program ini memaksimumkan penggunaan kemudahan Pusat Belia dengan pelbagai aktiviti berfaedah yang menyokong pembangunan belia secara menyeluruh melalui tiga pengisian utama iaitu pertama, PLAY (Rekreasi dan Gaya Hidup Sihat) dengan pengisian aktiviti Beyblade Tournament anjuran JBS Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Brothers Geng Bladders Brunei Darussalam (BGB TEAM) bermula 2 Oktober 2026.
Seterusnya, kedua, BIZ (Pembangunan Keusahawanan) di mana menampilkan dua pengusaha belia iaitu Senja Kopi dan dekuehby.Aien daripada Daerah Tutong turut mengikuti program ini bagi memberi ruang dan peluang menerusi Pop-up keusahawanan belia dan ketiga, GIVE (Semangat Kemasyarakatan).
Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 serta Wawasan Brunei 2035 dalam membina ruang yang kondusif bagi belia menggilap potensi, kreativiti, kemahiran keusahawanan dan semangat bermasyarakat.
Di samping itu, inisiatif ini memperkukuh kerjasama antara belia, komuniti, pengusaha muda dan pihak kerajaan menerusi pendekatan Whole of Nation bagi menjayakan program yang memberikan impak positif kepada pembangunan belia dan masyarakat secara berterusan.