Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morsidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-21, Tahun 2026 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-21, Tahun 2026 dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-21, Tahun 2026 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned. Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-21, Tahun 2026.
Pada majlis tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah. Majlis diteruskan dengan Ikrar Belia yang dibacakan oleh seramai 100 belia yang mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang, termasuk tiga orang belia Kelainan Upaya.
Ikrar Belia diketuai oleh Pembaca Utama iaitu Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Fuad bin Haji Matahir. Majlis kemudian disusuli dengan tayangan video inspirasi yang memaparkan kejayaan belia dari pelbagai bidang. Tayangan tersebut selaras dengan hasrat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk menjadikan belia sebagai rakan peneraju dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Majlis turut diserikan dengan persembahan belia berbentuk lagu ‘Suara Kita’ dan koir lagu patriotik belia ‘Belia Menuju Wawasan’ dengan iringan orkestra Brunei Youth Symphony. Acara kemuncak Sambutan HBK Ke-21, Tahun 2026 ialah penyampaian Anugerah HBK Ke-21, Tahun 2026 dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia.
Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2026 dianugerahkan kepada Dayang Fatin Afiqah binti Md. Asrul Saniy dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bunga Bintang Gemilang, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.
Sementara itu, penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2026 dianugerahkan kepada Dayang Sarah binti Abdul Mutalif dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bertabur Bunga Permata Bangsa, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.
Manakala, penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2026 dianugerahkan kepada Dr. Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bunga Kebahagiaan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.
Penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia pula dianugerahkan kepada Projek Ekosistem Rasa : Brunei - Borneo’s Culinary Landscape - The Gula Anau Story dengan menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,500 bagi perkembangan dan pembangunan projek.
Projek ini merupakan inisiatif yang mengetengahkan gula anau sebagai warisan kulinari tempatan melalui pemeliharaan pengetahuan tradisi, inovasi dan pemerkasaan komuniti. Usaha ini turut memperkenalkan keunikan gula anau sebagai sebahagian daripada identiti dan khazanah kulinari di Negara Brunei Darussalam (NBD). Projek ini ditaja oleh Imagine Sendirian Berhad.
Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menandatangani Lembaran Kenangan dan menerima Pesambah, dan baginda serta kerabat diraja dijunjung berangkat menyaksikan Pameran HBK Ke-21, Tahun 2026 di Ruang Legar, ICC, Berakas.
Pameran HBK Ke-21, Tahun 2026 akan diadakan selama tiga hari, bermula pada Khamis, 8 Oktober 2026 hingga Sabtu, 10 Oktober 2026, mulai pukul 7.45 pagi hingga 5.00 petang kecuali Jumaat, mulai pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang di Ruang Legar, ICC, Berakas.
Konsep sambutan dan pameran pada tahun ini mengambil inspirasi selaras dengan titah Kebawah DYMM sempena Sambutan HBK Ke-20, Tahun 2025 dan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80, Tahun 2026 yang menekankan keperluan membina belia yang berjati diri, berakhlak, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran serta memperkasakan mereka untuk menjadi pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.
Sehubungan itu, pameran disusun sebagai satu perjalanan pembangunan belia daripada membina potensi dan jati diri, membentuk nilai, menyumbang kepada masyarakat, sehingga akhirnya bersedia untuk mencipta dan menerajui masa depan negara. Sebanyak 18 pempamer ikut serta dalam Pameran HBK 2026 yang dibahagikan kepada lima kluster.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung bagi Majlis Santap. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar ramai.
Tema Sambutan HBK Ke-21 pada tahun ini ialah ‘Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara’. Tema menterjemahkan anjakan strategik peranan belia
daripada sekadar penerima manfaat kepada rakan pembangunan yang bersama-sama memimpin kemajuan negara.
Sebagai nadi wawasan negara, belia menjadi penggerak utama yang menghidupkan pembangunan negara melalui tindakan dan sumbangan yang memberikan penyelesaian konkrit kepada masyarakat.
Kedudukan belia sebagai peneraju dapat direalisasikan apabila negara menyediakan ekosistem, kepercayaan dan ruang pemudahcaraan yang membolehkan belia berani mencuba, mengetuai serta mencorakkan hala tuju masa hadapan, bukan semata-mata bertindak sebagai peserta.
Berteraskan falsafah MIB, keseluruhan sinergi ini disejajarkan demi menyokong kelangsungan Wawasan Brunei bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berjati diri yang bersedia untuk mewarisi, memacu serta membawa NBD teguh melangkaui aspirasi 2035.