Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Para belia perlu lebih berani melangkah ke hadapan bagi merebut peluang yang sedia ada, khususnya peluang-peluang baharu, serta berperanan menjadi pengguna teknologi dan pemacu ekonomi progresif yang berdaya tahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-21 Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.
Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, para belia juga perlu terus giat dalam program kemasyarakatan dan kesukarelawanan, sebagai pelakar pengalaman dan kepimpinan.
Budaya kesukarelawanan, titah baginda, perlu terus dipupuk melalui penglibatan para belia, institusi pendidikan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, dan lain-lain penggiat kemasyarakatan.
Kerjasama pihak-pihak berkenaan ini titah baginda lagi, amatlah penting untuk menjamin sumbangan para belia dapat dilihat sebagai sangat berharga.
Pada tahun ini, Sambutan Hari Belia Kebangsaan mengangkat tema 'Belia Peneraju Negara', selepas tujuh tahun berturut-turut mengangkat tema 'Belia Siaga Masa Depan'.
Tema tersebut, menurut titah baginda, amat bersesuaian dengan peranan belia sebagai nadi pembangunan negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menzahirkan keyakinan bahawa golongan belia merupakan pewaris masa depan semua bidang, khususnya bidang ilmu dan kemahiran.
Baginda seterusnya bertitah, bidang ilmu dan kemahiran sememangnya mencabar, namun golongan belia mampu untuk menanainya, bahkan sekali gus menjadi pencorak masa depan negara.
Menyentuh mengenai kemajuan golongan belia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menzahirkan kegembiraan terhadap peningkatan Indeks Pembangunan Belia (Youth Development Index) dari 65.1 pada tahun 2018 yang meningkat kepada 69.0 pada tahun 2025.
Peningkatan tersebut titah baginda merupakan pencapaian tertinggi sejak indeks mula diperkenalkan pada tahun 2008, yang turut didorong oleh prestasi yang membanggakan dalam bidang Nilai dan Identiti (Values and Identities) serta Pendidikan.
Namun begitu, baginda bertitah menyeru supaya perhatian terus diberikan kepada bidang-bidang yang masih memerlukan pengukuhan, khususnya penglibatan komuniti dan literasi kewangan dalam kalangan para belia.
Titah baginda, usaha berterusan masih diperlukan dalam bidang-bidang berkenaan, di samping memperkasa aspek pendidikan dan peluang pekerjaan bagi memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara seimbang.
Sehubungan itu, baginda menyambut baik usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meneliti semula Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) supaya dasar tersebut terus relevan untuk masa sekarang dan akan datang.
Baginda turut menyarankan agar penelitian berkenaan terus dilaksanakan berdasarkan dapatan terkini Indeks Pembangunan Belia, dengan juga mengambil kira perubahan landskap ekonomi, teknologi dan keperluan belia.
"Beta berharap usaha ini dapat terus melahirkan belia berwawasan dan menjadi Agen Perubahan Bertaraf Dunia," titah baginda.
Menyentuh mengenai Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kebawah DYMM mengambil maklum mengenai pelaksanaan secara rintis program tersebut selama enam bulan, berbanding tiga bulan sebelumnya.
Program rintis berkenaan turut diperkukuh dengan pengenalan dua modul baharu, iaitu Siap Siaga Masa Depan dan Program Pertahanan Awam.
Pengenalan modul-modul ini dihasratkan untuk melengkapkan lagi pengisian PKBN, khususnya dalam membekalkan para belia dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menghadapi apa jua cabaran.
"Sehubungan itu, beta menyarankan supaya pelaksaan program rintis ini akan terus diteliti dan dinilai lagi keberkesanannya secara menyeluruh, bagi memastikan PKBN benar-benar memberi impak berkesan kepada pembentukan jati diri dan disiplin para belia".
"Dalam kesempatan ini, beta turut menyeru supaya lebih ramai lagi para belia turut merebut peluang untuk menyertai PKBN, selaku ia wadah bagi para belia untuk menyumbangkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara," titah baginda.
Dalam pada itu, Kebawah DYMM turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan, serta berharap pengiktirafan tersebut menjadi pendorong kepada para belia untuk terus mencipta kecemerlangan.
Baginda turut merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Belia Kebangsaan Ke-21 kepada seluruh warga belia di negara ini serta mendoakan agar para belia terus dikurniakan kekuatan dan semangat untuk berbakti kepada nusa dan bangsa.