Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun di Istana Nurul Iman, hari ini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja.
Istiadat yang berlangsung penuh adat istiadat di Balai Singgahsana Indera Buana itu bermula dengan pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD kepada 22 penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ kepada Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Seterusnya diikuti dengan pengurniaan Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa Darjah Pertama (P.S.P.N.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Pahlawan’ kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengurniakan empat penerima Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Setia’ kepada Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Sementara empat orang lagi dikurniakan dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei, Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Paduka’ kepada Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norafan bin Haji Zainal dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Haji Ibrahim.
Seterusnya diikuti dengan lima penerima dengan gelaran Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (D.S.L.J) dengan membawa gelaran ‘Dato Seri Laila Jasa’ kepada Nicholas Charles Gudken dari United Kingdom; Dr. Dharambir Singh Sethi, Pakar Otorhinolaryngology/ENT, Republik Singapura; Dr. Andrew Albert Freiberg, Pakar Orthopedic di Amerika Syarikat; Chief Executive Officer, Senior Consultant Cardiothoracic Surgeon, Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Head of Cardiology Department, Consultant Cardiologist, IJN Malaysia, Dato’ Sri Dr. Azmee Mohd. Ghazi.
Bagi Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka’ dikurniakan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar NBD, Yang Arif Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Seterusnya diikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B) kepada Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Dayang Hajah Hadiyati binti Haji Abdul Hadi dan Pegawai Pelajaran Pusat Da’wah Islamiah, Dayang Hajah Rosinah binti Haji Mangshor.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B) kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck; Setiausha Tetap Politik dan Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Norhasimah binti Pengiran Mohammad Hassan dan Pemangku Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan Atlet Wushu Negara, Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Antara tetamu peribadi Kebawah DYMM, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah binti Mohammad Sanusi; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Paduka Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin dan Menteri Kanan Republik Singapura selaku wakil Kerajaan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Seri Laila Jasa Madam Ho Ching.
Berangkat dan hadir pada istiadat berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan kerajaan.