Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Urusan Haji
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) sukacita memaklumkan bahawa sebuah agensi pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah menggunakan Visa Umrah bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 1448 Hijrah sehingga 1450 Hijrah iaitu Syarikat Al-Miqat Travel and Tours Sdn. Bhd.
Dengan kebenaran yang diberikan tersebut, maka pada masa ini sebanyak 11 buah agensi pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah menggunakan Visa Umrah dan sebanyak 36 buah agensi pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Umrah menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi bagi tahun 2026 Masihi.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan ibadat haji dan umrah adalah dikehendaki untuk mengikuti dan menghubungi terus agensi-agensi pelancongan yang dibenarkan tersebut.
JUH, KHEU ingin mengingatkan agensi-agensi pelancongan yang tidak mempunyai kebenaran mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah (Visa Umrah dan Visa Pelancong Arab Saudi) adalah tidak dibenarkan untuk mengendalikan Pakej Umrah termasuk membuat sebarang iklan dan tawaran mengenainya.
Maklumat mengenai senarai terkini agensi-agensi pelancongan yang dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah (Visa Umrah dan Visa Pelancong Arab Saudi) bolehlah disemak melalui laman sesawang rasmi KHEU ‘www.mora.gov.bn’ atau Instagram ‘KHEU.BRUNEI’ atau menghubungi JUH melalui talian +673 2384478 atau emel: ‘juh.kheu@mora.gov.bn’ bagi mendapatkan maklumat lanjut.