Kontinjen negara berlepas ke Dakar, Senegal

28 Okt 2026 - 6:53am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Seramai enam orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) berlepas pagi tadi bagi menyertai Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 yang akan berlangsung di Dakar, Senegal pada 31 Oktober hingga 13 November 2026.

Kontinjen negara terdiri daripada dua orang atlet, dua orang jurulatih serta dua orang pegawai kontinjen termasuk Chef de Mission dan Ketua Urus Setia.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, seterusnya menyampaikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi kepada kontinjen ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan serta ahli keluarga atlet.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada kontinjen NBD dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Kontinjen NBD diketuai oleh Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen selaku Chef de Mission.

Pada kejohanan kali ini, negara akan diwakili dalam tiga jenis sukan iaitu renang, diwakili oleh seorang atlet lelaki bagi acara 200 meter Kuak Lentang Lelaki yang akan mula bertanding pada 1 hingga 6 November 2026 bertempat di Dakar Aquatic Centre (CTO); wusyu, diwakili oleh seorang atlet wanita bagi acara Taijiquan dan Taijijian Wanita yang akan mula bertanding dari 1 hingga 3 November 2026 di Pavilion Dakar Expo Center (DEX); dan olahraga yang diwakili oleh seorang atlet lelaki bagi acara 200 meter Lelaki yang akan mula bertanding dari 8 hingga 10 November 2026 di Iba Mar Diop Stadium (CID).

Sementara itu, pasukan olahraga akan bertolak ke Dakar, Senegal pada 3 November 2026.

Penyertaan kali ini diharap akan dapat memberikan pendedahan di peringkat antarabangsa serta mempertingkatkan pencapaian para atlet muda negara di persada sukan global.