Kesedaran masyarakat dipertingkat bagi menyokong penuaan sihat

28 Okt 2026 - 6:41am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

TUNGKU LINK, Selasa, 27 Oktober. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2026 selama tiga hari bermula hari ini, 28 dan 31 Oktober 2026 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penuaan yang berjaya serta menggalakkan persediaan awal ke arah kehidupan yang lebih sihat, berdikari dan berkualiti. 

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Lanjutan (Centre for Advanced Research - CARe) dan Kluster Jangkauan Komuniti, di bawah Jawatankuasa Strategi Kelestarian UBD, dengan sokongan Pusat Kehidupan dan Kesejahteraan Universiti (Centre for University Life and Wellness-UniHEALTH).

Penganjuran berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memperkukuh keupayaan masyarakat setempat serta menggalakkan tindakan praktikal merentas generasi bagi menyokong penuaan yang sihat. 

Dengan bertemakan 'Successful Ageing Starts Now : Preparing for Healthy Longevity', sambutan berkenaan adalah selaras dengan tema antarabangsa, 'Era Usia Panjang : Memikirkan Semula Sistem bagi Kehidupan yang Lebih Panjang' (The Age of Longevity: Rethinking Systems for Longer Lives). 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), UBD, Dr. Haji Masairol bin Haji Masri pada forum utama pada pagi tadi yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor UBD, di sini.

Forum ini menghimpunkan para profesional penjagaan kesihatan, penyelidik, wakil masyarakat dan warga emas bagi membincangkan pelbagai aspek penuaan sepanjang hayat, termasuk perimenopaus dan menopaus, kesihatan penglihatan dan pendengaran serta kesejahteraan mental.

Forum berkenaan diakhiri dengan sesi 'Voices of Agency : Stories of Ageing Well', yang mengetengahkan pengalaman, ketabahan dan sumbangan berterusan warga emas kepada masyarakat. 

Pengarah Centre for Advanced Research (CARe), Dr. Siti Mazidah binti Haji Mohamad, dalam ucapan pembukaannya berkata, seiring dengan peningkatan jangka hayat, kita perlu menilai semula cara membuat persediaan menghadapi proses penuaan, bukan sahaja sebagai individu, tetapi juga sebagai keluarga, masyarakat dan institusi.

Jelasnya lagi, program berkenaan menghimpunkan penyelidikan, kepakaran profesional dan pengalaman sebenar bagi menggalakkan pendekatan yang lebih inklusif dan proaktif ke arah penuaan yang sihat. 

Sementara itu, Pengerusi Bersama program, Dr. Sharimawati binti Haji Sharbini, pula menjelaskan penuaan yang berjaya tidak bermula pada usia 60 tahun, sebaliknya bermula dengan pilihan dan tindakan yang kita ambil hari ini.

"Kami berharap program ini dapat menggalakkan semua peringkat umur untuk mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan, keupayaan berdikari dan masa depan masing-masing.

"Penuaan yang sihat merupakan tanggungjawab bersama dan persediaannya perlu bermula lebih awal," ujarnya lagi. 

Program akan diteruskan pada esok, 28 Oktober 2026 di Innovation Wharf, Perpustakaan UBD, dengan aktiviti literasi kewangan, persediaan persaraan dan kesejahteraan dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, diikuti aktiviti kesedaran minda dan kreativiti dari pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang. 

Sementara itu pada 31 Oktober pula, sesi 'Safe Movement and Fall Recovery' akan diadakan di kawasan lapang Dewan Canselor, UBD, dari pukul 9 .00 pagi hingga 11.00 pagi. 

Sesi berkenaan menggabungkan prinsip latihan ReST (Resistance, Strength and Balance Training) dengan pergerakan berinspirasikan daripada sukan parkour bagi memperkenalkan kemahiran keseimbangan, pergerakan selamat dan kaedah untuk bangun semula selepas terjatuh melalui demonstrasi serta aktiviti berpandu yang disesuaikan mengikut kemampuan peserta. 

Sambutan HAWE 2026 turut bertujuan untuk mengubah tanggapan bahawa isu penuaan hanya berkaitan dengan golongan warga emas, sebaliknya menekankan bahawa persediaan untuk meniti usia tua yang sihat perlu bermula sejak awal kehidupan. 

Inisiatif berkenaan membawa mesej bahawa penuaan yang berjaya bukan sekadar hidup lebih lama, tetapi menjalani kehidupan yang lebih sihat, bermakna, berdikari dan terus menyumbang kepada masyarakat.