Siaran Akhbar : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan dan Pekerja Bagi Tahun 2026 selama sebulan bermula 31 Oktober 2026 hingga 30 November 2026.
Sehubungan itu, semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dalam sektor swasta dan badan berkanun yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam (NBD) dipohonkan untuk mengemukakan dan melengkapkan maklumat semua pekerja tempatan dan asing yang masih berkhidmat setakat 30 Oktober 2026, termasuk maklumat majikan, pemilik atau pengurus, di portal Online Business Reporting (OBR) melalui laman sesawang ‘https://www.business.gov.bn/business-reporting/’. Banci berkenaan tidak termasuk perkhidmatan persendirian atau pekerja domestik.
Pengguna hendaklah menggunakan akaun Brunei ID atau e-Darussalam yang berdaftar atas nama majikan, pemilik, pengurus atau pekerja yang diberi kuasa oleh majikan, pemilik atau pengurus dalam entiti masing-masing. Panduan tatacara pengisian maklumat banci boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi OBR.
Majikan, pemilik atau pengurus disarankan untuk melengkapkan sendiri maklumat banci, atau melalui pekerja yang diberi kuasa dalam entiti masing-masing, dan tidak menggunakan pihak ketiga atau ejen luar.
Langkah berkenaan bertujuan untuk melindungi kerahsiaan maklumat dan mengelakkan risiko penyalahgunaannya.
Dimaklumkan bahawa Resit Penyata yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja bagi Tahun 2025 akan mansuh dan tidak lagi sah selepas 30 Oktober 2026.
Di bawah Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Bab 3(1), semua majikan dikehendaki melengkapkan borang Banci Tahunan Majikan dan Pekerja.
Menurut Bab 8(1) dalam akta berkenaan, mana-mana majikan yang dengan sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan dalam tempoh yang ditetapkan, atau dengan sengaja memberikan butir-butir atau maklumat palsu; atau enggan menjawab atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butir-butir yang dikehendaki di bawah akta berkenaan, adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda sebanyak BND2,500 dan penjara enam bulan, dan jika berterusan, denda sebanyak BND50 sehari akan dikenakan.
Sokongan dan kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dalam sektor swasta serta badan berkanun dalam mengemukakan maklumat yang diperlukan amat dihargai bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaan banci berkenaan.
Sebarang pertanyaan mengenai Banci Tahunan Majikan dan Pekerja Bagi Tahun 2026 berkenaan bolehlah dirujuk ke Kaunter Perkhidmatan Banci Majikan dan Pekerja, Ruang Legar Tingkat Bawah, Ibu Pejabat JTMP, Jalan Dewan Majlis NBD atau melalui telefon +673 2383006 atau +673 2380256 sambungan 1104 atau 4503 atau 4504; dan e-mel ‘banci@jtmp.gov.bn’.
Kaunter perkhidmatan adalah beroperasi seperti berikut, iaitu pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu (tidak termasuk Cuti Awam), pukul 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.45 petang hingga 3.45 petang.