Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TUTONG, Khamis, 8 Oktober. - Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) terus mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kebersihan makanan yang dijual kepada orang ramai sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, BDFA pagi tadi melaksanakan pemeriksaan secara rawak ke atas dua buah premis perniagaan di Mukim Tanjong Maya, Tutong.
Pemeriksaan berkenaan merupakan sebahagian daripada pemeriksaan rutin BDFA bagi memastikan premis perniagaan dan pengendali makanan sentiasa mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan.
Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk tahap kebersihan premis, pengendalian makanan serta kaedah penyimpanan makanan bagi memastikan makanan disimpan dalam keadaan yang sesuai dan selamat sebelum dijual kepada pengguna.
Pemeriksaan secara berterusan juga penting dalam mengenal pasti sebarang risiko yang berpotensi menjejaskan keselamatan makanan, sekali gus membantu mencegah pencemaran makanan serta melindungi kesihatan orang ramai.
Selain melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan, BDFA turut menyediakan perkhidmatan Kursus Penyediaan Makanan yang boleh disertai oleh pengendali makanan serta individu yang terlibat dalam operasi, penyediaan dan pemprosesan makanan.
Kursus berkenaan merupakan antara usaha dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pengendali makanan mengenai amalan pengendalian makanan yang selamat, bersih dan mengikut keperluan yang ditetapkan.
Melalui penyediaan latihan dan kursus tersebut, pengendali makanan diharap akan lebih memahami tanggungjawab mereka dalam memastikan makanan yang disediakan dan dikendalikan adalah selamat untuk dimakan.
Pemantauan serta usaha peningkatan kapasiti pengendali makanan itu mencerminkan komitmen BDFA dalam memastikan pengusaha premis makanan sentiasa bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan dan kebersihan makanan, di samping mematuhi segala peraturan dan piawaian yang berkuat kuasa.
Ditubuhkan pada 1 Januari 2021, BDFA merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab mengawal selia serta memastikan keselamatan dan kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam.
BDFA melaksanakan pelbagai fungsi kawal selia, termasuk pemeriksaan premis makanan, pensampelan dan analisis makanan, kawalan import dan eksport makanan, pelesenan dan pendaftaran, serta aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan.
Sejak 1 Julai 2026, BDFA telah mengambil alih sepenuhnya semua tanggungjawab berkaitan keselamatan makanan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong daripada Kementerian Kesihatan.
Peralihan tersebut merupakan susulan penubuhan Pejabat Cawangan BDFA Kuala Belait serta pemindahan tanggungjawab keselamatan makanan daripada Pejabat Kesihatan Belait kepada BDFA pada 1 April 2026.