Berangkat ke Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Ke-36

24 Sep 2026 - 6:43am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Rabu, 23 September. - Tanggal 23 September setiap tahun menjadi tarikh istimewa bagi warga pendidik di Negara Brunei Darussalam (NBD) apabila Sambutan Hari Guru diraikan sebagai penghargaan atas jasa, dedikasi dan sumbangan mereka dalam mendidik serta membimbing generasi negara.

Lebih daripada sekadar sebuah sambutan, ia menjadi wadah untuk terus memartabatkan profesion perguruan serta mengiktiraf peranan penting para pendidik dalam pembangunan modal insan dan kemajuan negara.

Mengangkat peranan guru sebagai pemangkin kepada perubahan dan kemajuan pendidikan, Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026 berlangsung hari ini, di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), dengan membawa tema ‘Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi’ dan sub-tema ‘Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif’.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dihadiahkan khusus buat ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Luqman, ayat 16 hingga 19 oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Sungai Besar, Awang Mohammad Ayub bin Ali. Manakala inti sari ayat disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyembahkan sembah alu-aluan dan diikuti dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Acara diteruskan dengan tayangan klip video khas bertajuk ‘Cahaya Serambi Ilmu’ sebagai tanda penghargaan terhadap kemuliaan, ketulusan dan pengorbanan warga pendidik dalam membentuk generasi masa hadapan. Klip video tersebut mengetengahkan peranan guru sebagai cahaya yang menerangi anak didik melalui ilmu pengetahuan, bimbingan dan nasihat menuju kejayaan.

Tayangan video berkenaan turut menzahirkan rasa syukur atas jasa dan bakti para guru, di samping membawa simbolik bahawa di sebalik setiap kejayaan seorang murid, terdapat insan bergelar guru yang telah menyalakan cahaya ilmu. Pengisian klip video tersebut turut mencerminkan penghargaan terhadap profesion perguruan sebagai tunjang utama pembangunan modal insan negara.

Majlis turut diserikan dengan Persembahan Hari Guru, iaitu kompilasi lagu-lagu medley bertajuk 'Guru Oh Guru', 'Jasamu Guru' dan 'Terima Kasih Cikgu', sebelum diteruskan dengan Persembahan Lagu Hari Guru Ke-36, bertajuk 'Cahaya Serambi Ilmu'.

Persembahan ini melibatkan gabungan 33 pelajar dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Sekolah Seri Mulia Sarjana, Sekolah Sunshine dan Sekolah Stella.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-anugerah Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 kepada para penerima yang terdiri daripada empat orang penerima Anugerah Guru Berjasa yang dianugerahkan kepada Dato Paduka Dr. Haji Ismail bin Haji Duraman, Awang Haji Jamal bin Haji Kahar, Dayang Hajah Sarbanun binti Junit dan Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd. Hassan, sementara dua penerima Anugerah Jejak Bakti Pendidik dianugerahkan kepada Awang Haji Abd. Razak bin Bongsu dan Awang Haji Hussain bin Mahari.

Penerima-penerima Anugerah Guru Berjasa menerima Sijil Penghormatan; wang tunai sebanyak BND12,000; cenderamata dan kemudahan perubatan percuma, termasuk segala perbelanjaan wad kelas pertama di hospital-hospital kerajaan dalam negara.

Manakala penerima Anugerah Jejak Bakti Pendidik menerima Sijil Penghormatan; wang tunai sebanyak BND6,000; Cenderamata; dan kemudahan perubatan percuma, termasuk segala perbelanjaan wad kelas pertama di hospital-hospital kerajaan dalam negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada sembilan orang penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 28 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru.

Para penerima Anugerah Guru Cemerlang menerima Sijil Penghormatan; wang tunai sebanyak BND4,000 dan cenderamata serta tertakluk kepada syarat-syarat Latihan Dalam Perkhidmatan, diberikan keutamaan / disokong untuk melanjutkan pelajaran. Sementara para penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) menerima Sijil Penghormatan; wang tunai sebanyak BND1,000 dan trofi.

Pada akhir majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026.

Kebawah DYMM seterusnya dijunjung berangkat untuk menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 di Ruang Legar, ICC. Tema pameran bagi Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Mendidik Dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif’.

Sebelum berangkat meninggalkan ICC, Kebawah DYMM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada guru-guru, pelajar-pelajar, siswa dan siswi daripada pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.