Pemerkasaan proses pembelajaran, pengajaran perlu terus diusahakan

24 Sep 2026 - 6:47am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

BERAKAS, Rabu, 23 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dalam kesungguhan untuk melengkapi pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi, para pendidik adalah turut memikul amanah membentuk sahsiah, akhlak dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.

Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap agar Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan sentiasa bekerjasama dalam memperkemas kurikulum, demi memperkukuh penerapan nilai-nilai murni dan etika Melayu Islam Beraja (MIB) sejak dari peringkat sekolah rendah lagi.

Usaha ini, titah baginda lagi, amat penting kerana pembentukan karakter dan sahsiah pelajar perlu bermula dari peringkat awal usia.

“Mengenai kesejahteraan para guru, beta sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu beban tugas dan pengajaran yang sering dihadapi. Kesejahteraan warga guru akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan beta.

“Oleh itu, beta berharap Kementerian Pendidikan dan dapat melaksanakan penambahbaikan pengurusan Guru Relief secara bersepadu dan berkesan. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan para guru, kualiti dan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa terpelihara,” titah baginda semasa Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah pemerkasaan proses pembelajaran dan pengajaran juga hendaklah terus diusahakan melalui program-program yang sedia ada.

Sehubungan ini, baginda berpandangan bahawa usaha tersebut perlu disejajarkan dengan pemantapan sistem pendidikan, termasuk memperkukuh sistem intervensi awal kanak-kanak.

Titah baginda lagi, penyediaan pendidikan awal yang inklusif hendaklah diberikan perhatian supaya setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mendapat peluang yang saksama untuk berkembang secara optimum.

Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia memperkenankan penubuhan National Intervention Centre for Early Childhood Education iaitu satu pusat intervensi pendidikan awal kanak-kanak berusia antara 2 hingga 4 tahun bermula tahun 2027.

Pusat ini, titah baginda, akan diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Akhir kata, Kebawah DYMM dengan ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di NBD.

“Semoga segala jasa, pengorbanan dan bakti yang dicurahkan dalam mendidik generasi pewaris akan sentiasa diberkati serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu Wata’ala,” titah baginda.

Kebawah DYMM turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pada penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penghargaan berprestij ini menjadi sumber inspirasi serta pencetus semangat seluruh warga guru dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.