Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Rabu, 23 September. - Landskap pendidikan secara global, telah membawa pelbagai cabaran baharu untuk dihadapi oleh para pendidik. Kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa faktor-faktor seperti motivasi dan komitmen guru tetap merupakan faktor yang sangat penting dalam memastikan kejayaan para pelajar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sukacita mengetahui bahawa Programme for International Student Assessment (PISA 2025) telah mendapati pelajar NBD telah melaporkan sokongan guru sebagai sangat positif.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lagi, dapatan ini lebih tinggi berbanding purata negara-negara Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD).
“Sokongan serta komitmen para guru adalah berpotensi untuk mempengaruhi pembelajaran pelajar. Ini telah dibuktikan dalam beberapa kajian dan sekarang dalam PISA 2025 NBD adalah merupakan salah satu dari hanya beberapa buah negara, di mana pencapaian pelajar adalah meningkat dalam ketiga-tiga domain iaitu Sains, Matematik dan Membaca,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain melalui penilaian yang sama titah baginda lagi, lebih dari 70 peratus pelajar telah mencapai tahap prestasi melebihi jangkaan dalam Computational Problem Solving dan ini meletakkan NBD dalam kedudukan kedua teratas dalam senarai negara-negara yang mengikuti PISA.
Syabas dan tahniah baginda ucapkan kepada seluruh warga guru kerana pencapaian ini tidak mungkin akan dapat direalisasikan tanpa komitmen dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru semua.
Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-36 dalam suasana aman dan sejahtera.
Majlis pada hari ini, titah baginda, bukan sekadar memperingati Sambutan Hari Guru, malah juga untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru yang sentiasa cekal dalam mendidik, membimbing dan membentuk modal insan yang berpendidikan.
“Tema Hari Guru pada tahun ini : ‘Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi’, iaitu sebagai mengiktiraf pentingnya sumbangan guru ke arah memperkukuh sistem pendidikan yang berkualiti, lestari dan relevan, demi melahirkan generasi kreatif serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman,” titah baginda.