Bimbingan berterusan kunci pembentukan belia berilmu, berakhlak

10 Okt 2026 - 6:22am

Berita dan Foto : Khartini Hamir

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Pembentukan generasi belia yang berilmu, berakhlak dan berdaya kepimpinan memerlukan bimbingan berterusan, komitmen serta kesediaan untuk berkhidmat demi kepentingan masyarakat dan negara.

Berlandaskan semangat tersebut, Dr. Dayang Hajah Ummi Fai'zah binti Abdul Rahman dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus memainkan peranan dalam membimbing dan memperkasa generasi muda menerusi bidang dakwah, kesukarelawanan dan pembangunan belia, sekali gus melayakkan beliau menerima Anugerah Pemimpin Muda Belia sempena Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut dalam temu bual bersama Pelita Brunei, beliau melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas peluang dan kepercayaan yang diberikan.

Pengiktirafan ini katanya, sangat bermakna terutama sekali kepada belia-belia dalam kumpulan yang beliau sertai.

Anugerah ini juga jelasnya, bukan kejayaan individu semata-mata, tetapi hasil usaha, komitmen dan pengorbanan seluruh pasukan serta semua pihak yang pernah bersama-sama menjayakan program.

Selain itu, ia juga menjadi dorongan bagi mereka untuk terus berkhidmat dan membimbing belia dengan lebih baik.

Berkongsi pengalaman sepanjang penglibatannya, beliau menjelaskan bahawa telah bergiat aktif dalam bidang dakwah, kesukarelawanan dan pembangunan belia selama hampir 15 tahun, selain dilantik sebagai Ahli Eksekutif Persatuan Afiah Brunei Darussalam.

Antara sumbangan yang paling bermakna ialah mengasaskan Kumpulan Syababul Iman pada tahun 2012, seterusnya membimbing belia dalam skala yang besar melalui Kumpulan Belia Masjid Senegara sejak 2022, dan terlibat dalam pelbagai program keagamaan, pembinaan sahsiah, kepimpinan serta khidmat kemasyarakatan.

Sepanjang penglibatan ini, beliau berpeluang membimbing lebih 3,000 orang belia dan menjadi penasihat kepada pelbagai program.

"Di UNISSA saya membimbing kumpulan Al-Qudwah, dan saya melihat semua usaha ini sebagai khidmat bersama dengan sokongan rakan sekerja, para belia, sukarelawan dan organisasi yang sentiasa memberi ruang untuk kitani berbakti," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan belia agar mengenali kekuatan diri masing-masing, menggunakan masa dan bakat untuk perkara yang bermanfaat serta berani melibatkan diri dalam kegiatan yang membina.

Beliau turut mengingatkan agar golongan belia tidak takut untuk belajar daripada kesilapan dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan cabaran. Kukuhkan iman, akhlak dan jati diri, serta jadikan keluarga, agama dan negara sebagai panduan dalam membuat pilihan.

"Harapan saya, belia Brunei akan terus menjadi generasi yang berilmu, berakhlak, prihatin dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara," ujarnya mengakhiri temu bual.