Siaran Akhbar dan Foto : Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 November. – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) memperkenalkan perkhidmatan bas ‘shuttle’ percuma sebagai inisiatif untuk memudahkan orang ramai, termasuk para pengunjung tempatan dan pelancong, berkunjung ke BKISHHB.
Perkhidmatan berkenaan disediakan pada setiap Ahad sepanjang tempoh projek perintis, bermula 25 Oktober 2026 hingga 29 November 2026, dengan beberapa lokasi pengambilan dan penghantaran penumpang yang telah ditetapkan.
Waktu perkhidmatan bermula pukul 10.30 pagi hingga 5.00 petang dan lokasi-lokasi pengambilan ialah Yayasan Complex (Entrance A), Badi'ah Hotel, J Hotel, J Vista Hotel, Times Hotel, Parkview Hotel, dan Rimba Point.
Pendaftaran awal adalah diperlukan bagi memastikan tempat duduk penumpang dapat disediakan. Setiap slot perjalanan memerlukan sekurang-kurangnya lima penumpang berdaftar. Sekiranya jumlah minimum berkenaan tidak dicapai, slot perjalanan berkenaan akan dibatalkan.
Penumpang yang berjaya mendapat pengesahan tempat duduk akan menerima makluman melalui WhatsApp.
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila imbas Kod QR yang tertera pada poster atau hubungi WhatsApp BKISHHB di talian +673 8153264.