Doa, Solat Hajat memohon kejayaan murid hadapi PSR

3 Okt 2026 - 7:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

 

MADANG, Jumaat, 2 Oktober. - Seramai 93 orang murid daripada sekolah-sekolah di bawah pengurusan dan pentadbiran Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang akan bermula pada 8 Oktober ini.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah berkenaan baru-baru ini mengadakan Majlis Solat Hajat, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat bagi mendoakan kejayaan para murid yang akan menduduki peperiksaan tersebut.

Majlis berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Madang, dan dihadiri oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah beberapa orang Ahli Jawatankuasa Tadbir PGGMB, guru-guru besar, guru-guru, ibu bapa serta murid-murid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan Yang Dipertua PGGMB, Solat Hajat, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Haji Mustapa merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa atas kehadiran dan sokongan yang diberikan.

Beliau berkata, majlis tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan motivasi kepada para murid yang bakal menduduki PSR, di samping memohon agar mereka diberikan keyakinan, iltizam dan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan.

Beliau turut berharap agar para murid dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan penuh keyakinan dan memperoleh kejayaan yang dihasratkan.

Solat Hajat, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat dipimpin oleh Imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Madang, Awang Zuzli bin Haji Jumaat.