Forum ‘Caring with Heart’ tekankan penjagaan berteraskan belas ihsan

9 Okt 2026 - 7:02am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Lebih 300 peserta yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan, pensyarah serta pelajar bidang kesihatan dan perubatan daripada institusi pendidikan tempatan menghadiri Forum Compassionate Health Care bertemakan ‘Caring with Heart’ bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

Forum anjuran Kementerian Kesihatan melalui Seksyen Kualiti, Unit Kualiti dan Keselamatan Pesakit ini bertujuan untuk memupuk dan membudayakan penjagaan kesihatan yang penuh belas ihsan, titih dan lutanan dengan menekankan nilai empati, rasa hormat serta keprihatinan terhadap keperluan pesakit.

Pendekatan ini merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi, sosial dan rohani pesakit, di samping menyokong keselamatan pesakit serta kesejahteraan petugas kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian forum ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Dalam ucapan perasmian, Pengiran Dr. Haji Md Khalifah menjelaskan bahawa tema ‘Caring with Heart’ membawa mesej yang mendalam mengenai kepentingan merawat setiap individu dengan empati, maruah, kebaikan dan rasa hormat, yang merupakan nilai sejagat dalam perkhidmatan kesihatan serta selaras dengan nilai dan tradisi budaya serta Islam.

Beliau turut menekankan bahawa pengalaman pesakit terhadap perkhidmatan kesihatan bukan sahaja bergantung kepada rawatan yang diterima, tetapi juga bagaimana mereka didengar, dilayan dan dijaga, khususnya ketika melalui saat-saat paling mencabar dalam kehidupan mereka.

Sehubungan itu, penjagaan kesihatan penuh belas ihsan penting dalam mengenal pasti kebimbangan pesakit, memahami keperluan mereka serta memberikan respons dengan penuh empati dan rasa hormat.

Menurutnya, perkara-perkara mudah seperti mendengar dengan teliti, memberikan keyakinan dan mengakui kebimbangan pesakit mungkin kelihatan kecil, namun mampu memberikan kesan yang besar kepada pesakit dan keluarga mereka.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, beliau menegaskan bahawa nilai tersebut adalah berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), termasuk nilai budi pekerti dan sopan santun yang mengajar supaya setiap pesakit dilayan dengan penuh maruah, kebaikan dan rasa hormat.

Pengiran Dr. Haji Md Khalifah turut menekankan bahawa budaya belas ihsan hendaklah diterapkan dalam semua peringkat, bukan sahaja daripada petugas kesihatan kepada pesakit, tetapi juga dalam kalangan rakan sekerja serta daripada pemimpin kepada warga yang dipimpin.

Katanya, para doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan kakitangan sokongan sering berdepan tekanan kerja, waktu bekerja yang panjang, beban tugas yang tinggi serta beban emosi dalam menjaga pesakit yang kurang sihat.

Justeru, jika warga kesihatan diharapkan untuk sentiasa memberikan penjagaan penuh belas ihsan, persekitaran kerja yang menghormati, menyokong dan menghargai kebajikan mereka juga perlu diwujudkan.

Beliau seterusnya menyentuh peranan kepimpinan dalam membentuk budaya tersebut, termasuk mewujudkan organisasi penjagaan kesihatan yang membolehkan warga berasa selamat untuk menyuarakan pandangan, kebimbangan didengari, kerja berpasukan digalakkan dan kesejahteraan petugas diiktiraf sebagai perkara penting dalam penyampaian penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa belas ihsan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang berasingan daripada kecemerlangan klinikal, sebaliknya merupakan sebahagian penting daripadanya.

“Penjagaan kesihatan yang terbaik menggabungkan pengetahuan profesional dan kecekapan klinikal dengan empati, maruah serta hubungan kemanusiaan yang bermakna,” ujar beliau.

Bertemakan ‘Caring with Heart’, forum turut mengetengahkan kepentingan memberikan perawatan dan penjagaan dengan hati yang tulus ikhlas serta penuh rasa tanggungjawab.

Sesi forum bertajuk ‘The Clinical Imperative : Balancing High Tech with High Touch’ memberi tumpuan kepada keseimbangan antara penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan dengan sentuhan kemanusiaan.

Kemajuan teknologi perlu disertai dengan komunikasi yang berkesan, empati dan hubungan yang baik antara pesakit dengan petugas kesihatan bagi membina kepercayaan serta meningkatkan mutu penjagaan.

Panel forum terdiri daripada Konsultan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Dayang Hajah Rohayati binti Haji Mohd. Taib; Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan, Awang Ahmad Zahid bin Mohd. Daud; Pegawai Jururawat, Hospital RIPAS, Dayang Hajah Noridah binti Haji Abdul Halim dan Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

Forum tersebut dikendalikan oleh Ketua Seksyen Kualiti, Unit Kualiti dan Keselamatan Pesakit, Dr. Awang Haji Azlan bin Haji Jaludin, selaku moderator.

Melalui forum ini, Kementerian Kesihatan berharap agar nilai belas ihsan terus diterapkan dalam amalan harian warga kesihatan serta dipupuk dalam kalangan pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan bagi menyokong penyampaian penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berpusatkan pesakit.