Jemaah umrah dibekalkan ilmu, maklumat perjalanan ibadah

21 Nov 2026 - 7:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Darussalam Services Sendirian Berhad

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. – Menjelang keberangkatan bakal jemaah umrah ke Tanah Suci, Darussalam Services Sendirian Berhad (DSSB) telah mengadakan Majlis Taklimat Pengurusan Perjalanan Ibadah Umrah bagi jemaah yang dijadualkan berangkat pada Disember 2026 dan awal Januari 2027.

Majlis tersebut berlangsung di Atrium Airport Mall, The Airport Mall, Berakas.

Sesi taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Am Haji dan Umrah DSSB, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar. Antara perkara yang dikongsikan ialah penerangan mengenai pengurusan perjalanan, atur cara serta pengisian aktiviti bagi setiap pakej umrah yang ditawarkan. Ini termasuk jadual perjalanan, aktiviti ibadah dan lawatan ke tempat-tempat bersejarah serta lokasi ziarah di sekitar Kota Madinah Al-Munawwarah dan Makkah Al-Mukarramah.

Majlis turut diisikan dengan sesi tazkirah dan penghayatan ibadah umrah yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Haji dan Umrah DSSB, Awang Abd. Aziz bin Haji Abd. Rahman. Sesi tersebut memberikan penekanan kepada aspek hukum-hakam berkaitan ibadah umrah, termasuk perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian serta larangan-larangan sepanjang berada dalam ihram bagi memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan teratur.

Sebagai melengkapkan pengisian taklimat, para jemaah turut diberikan tunjuk ajar secara praktikal mengenai pelaksanaan ibadah tawaf dan saie bagi memberikan gambaran serta kefahaman yang lebih jelas sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Penganjuran majlis seumpama berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan DSSB dalam memberikan persediaan awal dari segi ilmu pengetahuan, kefahaman dan maklumat berkaitan perjalanan ibadah umrah kepada para jemaah.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan keyakinan serta kesediaan para jemaah agar dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang, teratur dan sempurna.

DSSB berharap agar segala urusan perjalanan dan pengurusan para jemaah akan dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang berada di Tanah Suci. Semoga seluruh jemaah memperoleh umrah yang mabrurah.

DSSB akan terus komited dalam menyediakan perkhidmatan dan bimbingan yang terbaik demi memastikan kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah sepanjang perjalanan menunaikan ibadah umrah.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengalaman haji bersama DSSB, sila layari laman sesawang DSSB di ‘www.darussalam.com.bn’ atau hubungi +673 2231964 atau +673 2231965 atau +673 8988509.